Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Oktober. - Di seluruh dunia, ekonomi global terus menghadapi cabaran yang sentiasa berubah.
Kesan akibat pandemik, ketegangan geopolitik, perubahan iklim dan gangguan teknologi mengubah semula corak perdagangan, aliran pelaburan dan tingkah laku pengguna.
Perkembangan berkenaan menekankan keperluan untuk sesebuah ekonomi bukan sahaja berdaya saing, malah berdaya tahan.
Perkara demikian dijelaskan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Perniagaan, Ekonomi dan Kewangan (ICBEF 2025) Ke-5 yang berlangsung di The Empire Brunei.
Menurut Yang Mulia Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), ketahanan hari ini bermaksud keupayaan untuk menjangka dan menyesuaikan diri terhadap perubahan, dan ia memerlukan inovasi, kemampanan dan institusi kukuh yang boleh mengurus ketidaktentuan dan merebut peluang yang ada.
"Bagi ekonomi kecil dan terbuka seperti Negara Brunei Darussalam (NBD), cabarannya adalah untuk mengharungi perubahan tersebut dengan memastikan pertumbuhan kekal mampan dan berpandangan jauh ke hadapan," ujar Yang Mulia.
"Di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, inovasi dan kemampanan sentiasa menjadi prinsip panduan pembangunan negara.
"Kerajaan kekal komited dalam melaksanakan inisiatif dan dasar yang menyokong kepelbagaian ekonomi, memupuk inovasi dan menggalakkan kemampanan merentas semua sektor ekonomi.
"Visi ini digariskan dengan jelas dalam Pelan Induk Ekonomi Brunei, yang mengiktiraf bahawa kemajuan yang kita capai hari ini tidak seharusnya mengorbankan kepentingan generasi akan datang," ujar Yang Mulia.
Yang Mulia seterusnya menambah, komitmen berkenaan terserlah dalam beberapa projek nasional berimpak tinggi. Pada bukan Ogos yang lalu, kerajaan melalui Khazanah 1, memulakan pembangunan loji janakuasa solar berkapasiti 30 megawatt (MW) di bekas tapak pelupusan sampah di Kampung Belimbing.
Apabila mula beroperasi pada penghujung 2026 kata Yang Mulia lagi, projek berkenaan dijangka dapat menjana lebih 64,000MW-jam elektrik bersih setiap tahun.
Menurut Yang Mulia lagi, perkara yang sama diberi perhatian ialah pelancaran Projek Sinar Hengyi pada 2024, yang merupakan inisiatif utama bagi mengintegrasi tenaga boleh diperbaharui ke dalam salah satu kawasan perindustrian utama negara di Pulau Muara Besar dan ia dijangka menghasilkan sehingga 48MW-peak tenaga bersih yang berpotensi untuk berkembang hampir 476MW-peak, sekali gus mengukuhkan lagi peralihan Brunei ke arah ekonomi rendah karbon.
Selain itu kata Yang Mulia, Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government - Linked Companies - GLCs) juga mengambil langkah konkrit untuk menerapkan inovasi dalam operasi mereka dan Brunei Fertilizer Industries Sdn. Bhd. (BFI) turut bekerjasama dengan thyssenkrupp Uhde untuk meneroka potensi pengeluaran ammonia biru dan hijau yang akan menyokong laluan ke arah pertumbuhan industri yang mampan.
Sementara itu, jelas Yang Mulia lagi, Brunei Methanol Company (BMC), sedang giat meneroka inisiatif untuk menghasilkan metanol secara mampan dengan menggunakan biojisim, biogas atau hidrogen dengan memanfaatkan teknologi Mitsubishi Gas Chemicals.
"Kesemua projek-projek ini mencerminkan momentum yang semakin meningkat serta komitmen berterusan NBD ke arah masa depan yang rendah karbon, dipacu inovasi, yang mengukuhkan keselamatan tenaga, mengoptimumkan campuran tenaga dan membawa negara semakin hampir kepada sasaran penggunaan sebanyak 30 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035.
"Paling utama, semua itu membuktikan bahawa kemampanan dan inovasi merupakan teras utama kepada ketahanan ekonomi," ujar Yang Mulia lagi.