Warga asing dipenjara, denda atas kesalahan pemerdagangan orang



​​​


Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid






BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 3 Oktober. - Seorang lelaki warganegara Bangladesh dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan enam bulan serta denda BND120,000 (jika gagal membayar, hukuman penjara selama 60 bulan) dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, selepas didapati bersalah atas enam pertuduhan pemerdagangan orang di bawah Bab 4 Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Orang, 2004.


Mengikut pertuduhan defendan, Khairul Bashar telah merekrut enam lelaki warganegara Bangladesh antara 1 Januari 2018 hingga 30 Mac 2019 dengan menipu bagi tujuan eksploitasi buruh paksa di Negara Brunei Darussalam (NBD).


Hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan tersebut ialah denda tidak melebihi BND1,000,000, pemenjaraan bagi suatu tempoh tidak kurang daripada empat tahun tetapi tidak melebihi 30 tahun dan sebatan.


Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar, Yang Arif Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli dalam menjatuhkan hukuman menyatakan bahawa dengan adanya ramai mangsa telah meningkatkan keseriusan kesalahan itu kerana ia menunjukkan bahawa perbuatan defendan bukanlah bersifat oportunistik atau terhad kepada satu perbuatan sahaja sebaliknya merupakan corak eksploitasi yang berterusan yang mengambil kesempatan ke atas sekumpulan lelaki yang lemah.


Mahkamah mengambil kira kesengsaraan jelas yang dialami oleh mangsa, akibat janji palsu defendan mengenai peluang pekerjaan yang menguntungkan di NBD, sebagai satu faktor yang memberatkan.


Mangsa-mangsa telah dipaksa untuk memenuhi tuntutan kewangan defendan semasa proses pengrekrutan, hanya untuk berdepan dengan pengangguran atau pekerjaan bergaji rendah dan tidak tetap, terperangkap dalam keadaan ketergantungan dengan pasport mereka dirampas malah diugut untuk dihantar balik sekiranya mereka gagal membuat bayaran bulanan kepada defendan.


Selaras dengan hujahan pihak pendakwa, pihak mahkamah selanjutnya turut menekankan bahawa kesalahan pemerdagangan orang merupakan suatu pelanggaran hak asasi manusia yang berat dan kejam, yang menyebabkan mangsa dikawal sepenuhnya oleh pemerdagang, kehilangan kebebasan diri dan menjadikan mereka alat eksploitasi.


Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abd. Rahman dan Hajah Siti Mu'izzah binti Haji Sabli mewakili Pendakwa Raya manakala defendan diwakili oleh Peguam Bela Tetuan Daud Ismail Company.


Close