Hukuman penjara ditambah



​​

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid






BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 3 Oktober. - Mahkamah Rayuan memerintahkan jumlah hukuman penjara ditambah selama empat tahun terhadap bekas Penolong Pegawai Narkotik II, Muhammad Ali Iskandar bin Mustapha.


Pesuruhjaya Kehakiman, Yang Arif Haji Abdullah Soefri bin POKSM DSP Haji Abidin menyatakan bahawa faktor-faktor yang memberatkan dalam kes ini telah mendorong mahkamah untuk berpendapat bahawa titik permulaan bagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh Muhammad Ali Iskandar seharusnya lebih hampir kepada hukuman maksimum yang diperuntukkan di bawah bab 12B, iaitu hukuman penjara selama tujuh tahun.


Yang Arif selanjutnya menekankan bahawa antara ciri yang paling memberatkan dalam kes ini adalah penyalahgunaan kedudukannya sebagai Pegawai Narkotik untuk memperoleh manfaat peribadi serta kesan keseluruhan daripada salah lakunya terhadap kepercayaan orang ramai dan keyakinan mereka terhadap integriti Biro Kawalan Narkotik (BKN).


Mahkamah sebelum itu telah menjatuhkan hukuman terhadap Bekas Penolong Pegawai Narkotik II, Muhammad Ali Iskandar bin Mustapha pada 26 Disember 2024 atas lima pertuduhan di bawah bab 12B dari Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131 dan dua pertuduhan di hadapan Yang Arif Majistret Kanan, Hajah Azrimah binti Haji Abdul Rahman. Bab ini memperuntukkan hukuman denda sebanyak BND30,000 dan penjara selama tujuh tahun.


Muhammad Ali Iskandar telah mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Yang Arif Majistret Kanan kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan selama dua tahun dan lapan bulan.


Pihak pendakwa kemudiannya memfailkan rayuan terhadap hukuman atas dasar hukuman itu adalah terlalu ringan. Dalam rayuan tersebut, pihak pendakwa telah memohon agar pihak mahkamah menimbangkan semula tahap kepentingan ciri-ciri yang memberatkan kes itu.


Ciri-ciri tersebut termasuk tahap penyalahgunaan kedudukannya sebagai Penolong Pegawai Narkotik II di BKN, kekerapan berlakunya salah laku, jenis maklumat yang didedahkannya serta kesan keseluruhan daripada salah lakunya terhadap BKN satu-satunya institusi yang diamanahkan untuk membanteras penggunaan, pembekalan dan pengedaran dadah haram di Negara Brunei Darussalam.


Rayuan tersebut telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalillah binti Haji Hussin.


Close