Siaran Akhbar dan Foto : Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam
UNITED KINGDOM, Khamis, 2 Oktober. - Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon telah membuat lawatan rasmi ke Honourable Society of Lincoln's Inn pada Selasa, 30 September 2025.
Ketua Hakim Mahkamah Besar diiringi oleh delegasi yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Perantaraan, Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar; dan Pendaftar Kanan, Hajah Noor Amalina binti Dato Paduka Haji Alaihuddin.
Semasa lawatan berkenaan, Ketua Hakim Mahkamah Besar dan delegasi dialu-alukan oleh Treasurer of Lincoln's Inn, The Hon. Sir Paul Morgan dan Under Treasurer of Lincoln's Inn, Emma Hopkins OBE serta beberapa Senior Benchers di Lincoln's Inn.
Ketua Hakim Mahkamah Besar juga dialu-alukan oleh Master of the Rolls, The Right Honourable Sir Geoffrey Vos, yang pernah menjawat jawatan Treasurer Lincoln's Inn pada 2023.
Mesyuarat itu memberikan peluang untuk merenung kembali hubungan jangka panjang antara komuniti undang-undang Negara Brunei Darussalam (NBD) dengan Lincoln's Inn, dengan mengambil maklum bahawa ramai ahli badan kehakiman dan profesion undang-undang NBD telah diterima masuk ke Persatuan Peguam di Lincoln's Inn termasuk Ketua Hakim Mahkamah Besar sendiri pada 1982.
Dalam mesyuarat berkenaan, Ketua Hakim Mahkamah Besar mengesahkan komitmen NBD untuk terus memelihara dan memupuk hubungan profesionalnya dengan Lincoln's Inn serta piawaian tinggi dalam bidang advokasi dan etika yang diterapkan di Inn yang terus membentuk profesion undang-undang NBD hari ini.
Selain itu, Ketua Hakim Mahkamah Besar juga menyatakan minatnya untuk bekerjasama dengan Lincoln's Inn bagi membimbing generasi peguam bela yang akan datang kerana pelajar undang-undang NBD terus memilih persatuan berkenaan sebagai laluan ke arah mengamalkan profesion guaman di NBD.
Ketua Hakim Mahkamah Besar membincangkan jalan untuk kerjasama masa depan, termasuk peluang untuk pembangunan profesional berterusan untuk peguam bela NBD melalui latihan advokasi dan sokongan untuk mengukuhkan standard etika dan profesionalisme dalam komuniti undang-undang NBD.