Mengukuhkan hubungan kerjasama sektor pertanian, perikanan




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan





MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Khamis, 2 Oktober. - Negara Brunei Darussalam (NBD) melalui Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), iaitu Memorandum of Understanding between The Government of His Majesty The Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam And The Government of The Republic of The Philippines on Agricultural and Fisheries Cooperation, bertempat di Conrad Manila, Republik Filipina.


Menandatangani bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.


Manakala menandatangani bagi pihak Kerajaan Republik Filipina, Secretary, Jabatan Pertanian, Yang Berhormat Tuan Francisco P. Tiu Laurel Jr.


Majlis Penandatanganan MoU berkenaan diadakan semasa Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN kali Ke-47 dan Mesyuarat- mesyuarat Yang Berkaitan Dengannya, dengan Republik Filipina sebagai tuan rumah.


Melalui MoU berkenaan akan dapat mengukuhkan lagi hubungan kerjasama di antara Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, dan Jabatan Perikanan, KSSUP, Negara Brunei Darussalam dengan Jabatan Pertanian, Republik Filipina.


Secara amnya, MoU berkenaan akan memberi beberapa manfaat dan faedah melalui kerjasama antara kedua-dua belah pihak, iaitu meningkatkan kerjasama dan perkongsian maklumat yang efektif dalam sektor pertanian dan perikanan antara kedua-dua negara, meliputi perkongsian pengetahuan, pengalaman, dan teknologi terkini bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti produk pertanian dan perikanan.


Selain itu, membangunkan kapasiti dan meningkatkan keupayaan sumber manusia Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta Jabatan Perikanan, KSSUP melalui dengan pendedahan kepakaran dari Republik Filipina, mahupun mendatangkan pakar ke NBD atau melalui program latihan di Republik Filipina; dan meningkatkan akses pasaran dan pelaburan dalam sektor pertanian dan perikanan menggalakkan penglibatan sektor swasta, meningkatkan daya saing, dan keupayaan eksport negara, serta mempelbagaikan varieti ekonomi negara.


Majlis Penandatanganan berkenaan turut disaksikan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Republik Filipina, Puan Yang Terutama Megawati binti Dato Paduka Haji Manan.


Close