Membaca Surah Yaa Siin, Tahlil sempena memperingati penukaran nama BSB




Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi  / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said






BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 2 Oktober. - Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa hari ini di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, di sini, bersempena Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei Menjadi Bandar Seri Begawan Kali Ke-55 Tahun, sebagai tanda kesyukuran dan memperingati detik bersejarah Negara Brunei Darussalam (NBD).


Bacaan Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa adalah khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.


Hadir di majlis berkenaan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.


Turut hadir, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara mewakili daerah-daerah, Setiausaha-setiausaha tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN); Timbalan Setiausaha Tetap, KHEDN; ketua-ketua jabatan, KHEDN; pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya serta Penghulu-penghulu dan Ketua-ketua Kampung seluruh negara yang sama-sama menyemarakkan suasana keagamaan dan memperkukuh ukhuwah sesama warga bandar. 


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Haji Al-Muhtadee Billah di Kampung Tamoi, Awang Faisal bin Janip @ Rosli.


Adapun majlis berkenaan merupakan salah satu daripada acara pengisian rohani bersempena Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei Menjadi Bandar Seri Begawan Kali Ke-55 Tahun, sebagai mengenang jasa Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dalam memajukan dan memodenkan NBD.


Close