Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 2 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Minyak Brunei Shell Sendirian Berhad (BSP) Ke-416 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sendirian Berhad (BSM) Ke-194 bagi Suku Ketiga tahun 2025.
Mesyuarat tersebut berlangsung di bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, selaku Ahli-ahli Lembaga Pengarah BSP dan BSM.
Pada mesyuarat berkenan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah penutup bagi menamatkan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Venture dan Syarikat Brunei Gas Carriers bagi Suku Ketiga tahun 2025.
Baginda menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara Lembaga Pengarah, Pengurusan dan Pemegang Saham, kecekapan beradaptasi dan daya ketahanan dalam memposisikan syarikat-syarikat untuk mencapai kejayaan yang berterusan.
Baginda turut menegaskan peranan penting syarikat-syarikat Brunei Shell Joint Venture dalam menyokong ketahanan tenaga, memperkukuh kekuatan ekonomi serta memacu pembangunan jangka panjang Negara Brunei Darussalam.
Mesyuarat juga membincangkan perkara-perkara penting seperti prestasi operasi, keselamatan, kewangan dan pembangunan tenaga manusia, serta strategi jangka panjang BSP dan BSM bagi tahun-tahun akan datang.
Mesyuarat tersebut dimulakan dengan bacaan Doa, dan juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia; Shell plc serta ahli-ahli kepimpinan daripada BSP dan BSM.
Mesyuarat tersebut menandakan berakhirnya sesi Mesyuarat-mesyuarat Lembaga Pengarah-pengarah Syarikat-syarikat Brunei Shell Joint Venture bagi Suku Ketiga tahun 2025.




