Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman.
RIMBA, Isnin, 29 September. - Kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) telah berjaya meraih empat pingat emas, tujuh pingat perak dan tujuh pingat gangsa pada temasya Sukan Borneo Ke-6, 2025 di Kuching, Sarawak.
Pingat emas negara diperoleh daripada akuatik renang di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Kompleks Sukan Petra Jaya yang begitu menonjol terutama sekali menerusi Dayang Sharmeen binti Mohammad Mharvin dengan mengutip tiga pingat emas, manakala Joel Ling Thai Yu pula dengan satu pingat emas buat negara.
Hadir menyambut kepulangan kontinjen di Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Brunei, di sini, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan serta pegawai-pegawai dari kementerian berkenaan.
Pengiran Haji Mohd. Hasnan menzahirkan penghargaan jutaan terima kasih atas semangat juang dan juga dedikasi kontinjen termasuk para atlet yang mengharumkan nama negara dengan kejayaan yang diukir pada temasya sukan kali ini dan diharap kejayaan yang digapai berkenaan memjadi suntikan semangat kepada atlet lain terutama sekali kepada atlet muda.
Selain itu tambahnya, kepada yang tidak berjaya agar tidak putus asa malah jadikan pengalaman yang diperoleh berkenaan sebagai motivasi ke arah mempertingkatkan lagi prestasi pada masa akan datang.
Pengiran Haji Mohd. Hasnan juga mengucapkan terima kasih kepada Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) kerana membawa pergi dan pulang kontinjen dengan selamat.
Sementara itu, Pelita Brunei berkesempatan menemu bual jaguh perenang negara yang berjaya mencipta nama pada Sukan Borneo Ke-6, iaitu Dayang Sharmeen yang beraksi cemerlang sehingga menggenggam tiga pingat emas melalui kategori Kuak Lentang Wanita bagi 50 meter (m), 100m dan 200m serta Gaya Bebas 50m.
Menurutnya, pencapaian yang diraih setentunya buatnya bersyukur dan gembira kerana ia merupakan satu hasil dan bukti kejayaan daripada usaha dan kerja kerasnya dalam menjalani latihan selama ini lebih-lebih lagi detik pertama kali menjulang emas mengharumkan NBD di luar negara.
Dayang Sharmeen seterusnya berkata, rekod peribadi yang dicatatkannya juga yang terbaik dihasilkan dalam penyertaannya dalam empat kategori yang dipertandingkan pada temasya sukan berkenaan.
Tambahnya lagi, latihan yang dijalankan kira-kira sebulan ketika pertandingan yang disertainya di Republik Singapura. Semasa dalam pertandingan kali ini, dia memang ada berasa gementar namun dirinya harus berasa tenang dan tetap fokus untuk buat sebaik mungkin.
Meskipun tiga emas telah digenggam, namun beliau merasakan harus memperbaiki dari segi pelbagai teknik sebagai penambahbaikan untuk beraksi dan menjadi lebih baik lagi pada perlawanan yang akan datang.
Sementara itu, pemenang pingat emas bagi Kuak Lentang 50m Lelaki, iaitu Joel Ling Thai Yu juga bersyukur dan berbangga dapat menghadiahkan satu pingat emas buat negara yang setentunya teruja apabila Lagu Kebangsaan NBD berkumandang pada sukan yang berlangsung di Bumi Kenyalang kali ini.
Pingat emas berkenaan katanya menunjukkan satu pencapaian yang bagus dalam strategi renangnya bersama jurulatihnya.
Tambahnya lagi, meskipun dia sudah terdedah dengan pertandingan sukan-sukan di luar negara sebelum ini, akan tetapi impian untuk mencapai pingat emas ini akhirnya tercapai untuk memberikan kemenangan yang begitu bermakna bagi dirinya dengan memecahkan rekod peribadinya, iaitu 27.25 berbanding 27.86 sebelumnya dan sekali gus rekod kebangsaan bagi acara renang.
Beliau merasakan kejayaan yang diciptanya berkenaan memerlukan banyak pengorbanan terutama dari segi masa kerana dalam pada yang sama beliau merupakan seorang pelajar yang harus bijak membahagikan masa di samping mengatur disiplin dan pengurusan masa.
Menurut Joel Ling Thai Yu lagi, pembelajaran adalah diutamakan namun latihan juga dijalankan sejak Julai demi sasaran untuk perlawanan sehingga dapat memperbaiki dari segi teknik kedayatahanan (endurance), kelajuan dan juga tendangan di bawah air (underwater kicks).
Beliau yang akan memulakan pengajiannya di salah sebuah universiti di Kuala Lumpur, Malaysia bulan hadapan, berharap dapat meneruskan latihan secara efektif agar dapat beraksi lebih baik lagi pada kejohanan akan datang nanti.
Kedua-duanya serta atlet yang lain menzahirkan penghargaan terima kasih atas sokongan yang berterusan buat keluarga dan juga jurulatih yang melatih serta mendidik mereka dalam berkongsi pengetahuan. Tidak dilupakan juga kepada persatuan dan juga Jabatan Belia dan Sukan yang memberi kepercayaan serta membuka ruang dan peluang untuk sama-sama mengetengahkan bakat mereka ke peringkat antarabangsa.
Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke NBD, Abdul Munir Lutfi Said; Timbalan Pemerintah TUDB, Kolonel (U) Hismawadi bin Haji Mohd. Said; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah dan pegawai-pegawai kanan KKBS, persatuan-persatuan sukan kebangsaan serta para ibu bapa dan penjaga.