Seminar Da’wah dan Pameran Menelusuri 40 Tahun PDI labuh tirai



​​

Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said






BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 17 September. - Seminar Da'wah dan Pameran Menelusuri 40 Tahun Pusat Da'wah Islamiah (PDI) bersempena Jubli Delima PDI yang diadakan selama dua hari bertempat di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) berakhir pada petang tadi dengan Majlis Penutup Seminar Da'wah dan Pameran Menelusuri 40 Tahun PDI bertempat di Dewan Auditorium, BKISHHB.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.


Sebelum majlis penutup bermula, Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama menyaksikan Majlis Pengislaman bagi Dayang Rosnah binti Yusof, 30 tahun, puak Dusun di reruai pengislaman di Pameran Menelusuri 40 Tahun PDI, Lobi Utama, BKISHHB.


Dayang Rosnah kini dikenali dengan nama Islamnya, Dayang Hanin Harishah binti Abdullah Yusof. Dengan berlangsungnya pengislaman berkenaan, statistik bagi orang yang memeluk agama Islam di negara ini ialah seramai 185 orang.


Sejurus itu, Majlis Penutup Seminar Da'wah dan Pameran Menelusuri 40 Tahun PDI dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Pegawai Da'ie, Skim latihan Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SkiPPA), PDI, Awang Abdul Muiz bin Haji Jahair.


Acara kemudiannya diikuti dengan pembentangan Sidang Pleno yang disampaikan oleh tiga ahli Sidang Pleno bertajuk 'Memperkasa Peranan PDI di Era Digital' yang disampaikan oleh Pengarah PDI, Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd. Salleh.


Sementara itu, 'Strategi Da'wah Terkini : Relevan, Realistik dan Responsif' pula disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, MyGuide Malaysia, Negeri Sabah, Malaysia, Yang Berbahagia Haji Nicholas Sylvester @ Muhammad Abdullah.


Manakala, pembentangan 'Strategi Da'wah Terkini di Kalangan Non-Muslim' pula dibentangkan oleh Presiden Persatuan Dayak Muslim, Kalimantan Barat, Republik Indonesia, Yang Terhormat Ustaz Muhammad Damanhuri SHI.SH.M.PD.


Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderamata kepada ahli Sidang Pleno yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, disusuli dengan penyampaian Resolusi Seminar kepada Pengarah PDI, selaku Pengerusi Jawatankuasa Seminar Da'wah dan Pameran Menelusuri 40 Tahun PDI sempena Jubli Delima PDI.


Majlis diakhiri dengan bacaan Tasbih Kaffarah Al-Majlis dan Surah Al-'Asr oleh Awang Abdul Muiz.


Dengan penganjuran Seminar Da'wah berkenaan diharap dapat memberi manfaat dalam meningkatkan kualiti gerakan dakwah khususnya di PDI serta mendorong perkembangan dakwah di negara ini seiring dengan keperluan semasa.


Begitu juga dengan Pameran Menelusuri 40 Tahun PDI yang diharap dapat memberi impak positif kepada warga PDI, menginspirasi generasi baharu untuk terlibat dalam kegiatan dakwah serta menyumbang kepada masyarakat, di samping dijadikan sebagai pameran bergerak yang boleh diperkenalkan di pelbagai lokasi bagi meneruskan misi dakwah dan penyebaran ilmu, seterusnya menyemarakkan semangat dakwah ke seluruh pelusuk negara.


Turut hadir, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.


Close