Awang Anang Muhammad Fathur’rahman juara Pertandingan Pidato Kebangsaan





Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman






BERAKAS, Rabu, 17 September. - Persembahan pidato bertajuk 'Purih Brunei : Khazanah Warisan Yang Harus Disemai' membawa tuah buat Awang Anang Muhammad Fathur'rahman bin Anang Abdul Rahman dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah setelah diumumkan sebagai juara pada Pertandingan Peringkat Akhir Pidato Kebangsaan Brunei Darussalam sempena Sambutan Bulan Bahasa 2025 yang diadakan di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas.


Juara menerima wang tunai sebanyak BND800, piala pusingan, piala, sijil penghargaan dan buku terbitan DBP.


Sementara itu, Dayang Syafiqah Mumtazah binti Haji Mohd. Arriffen dari Universiti Brunei Darussalam (UBD); dan Dayang Muslimah binti Mahadi, peserta persendirian, masing-masing menduduki naib juara dan tempat ketiga.


Pemenang naib juara memenangi wang tunai sebanyak BND600, plak, sijil penghargaan dan buku terbitan DBP; manakala pemenang tempat ketiga pula memenangi wang tunai sebanyak BND400, plak, sijil penghargaan dan buku terbitan DBP.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.


Terdahulu itu, majlis dimulai dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan' dan bacaan Surah Al-Fatihah serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.


Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab selaku Pengerusi Pertandingan Pidato Kebangsaan Brunei Darussalam sempena Sambutan Bulan Bahasa 2025, dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, pidato bukan sekadar seni berucap, tetapi seni pemikiran.


Tambahnya, keindahan pidato terletak pada pemilihan kata, laras bahasa dan daya pengaruhnya. Bahasa Melayu yang kaya dengan nilai estetika dan ragam baku menjadi wahana menyampaikan ilmu, budaya dan pandangan bernas.


Menyentuh mengenai pertandingan berkenaan, Awang Suip seterusnya berkata ia membuktikan bahawa bahasa Melayu terus relevan dalam dunia pekerjaan dan kehidupan bernegara.


Jelasnya lagi, DBP akan terus komited memperkukuh kedaulatan bahasa Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negeri Brunei Darussalam 1959 bahawa bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara, melalui pelbagai program sepanjang tahun termasuk Kegiatan-kegiatan Bulan Bahasa, Pesta Buku Brunei, kerjasama MABBIM dan MASTERA, serta pemuliharaan khazanah manuskrip lama.


Seramai lima peserta berjaya mara ke peringkat akhir setelah melalui peringkat saringan yang diadakan pada Sabtu, 17 Zulhijah 1446 Hijrah bersamaan 14 Jun 2025 Masihi yang lalu.


Pertandingan Pidato Kebangsaan berkenaan turut diselajurkan dengan persembahan sketsa bahasa Melayu oleh Awang Mohd. Hairol bin Awang Haji Abdul Latiff, dan diikuti dengan ulasan serta komentar daripada Pensyarah UBD, Awang Mohammed Zefri Ariff bin Mohammed Zain Ariff, selaku Ketua Panel Hakim.


Penilaian dilaksanakan melalui tiga aspek, iaitu penilaian isi atau idea, bahasa dan teknik serta penyampaian yang memerlukan nilai tambah dan pembaikan pada masa akan datang.


Antara objektif pertandingan berkenaan diadakan adalah bagi menyemarakkan dan menggemakan Sambutan Bulan Bahasa 2025, di samping meluaskan dan memantapkan pengetahuan, penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu standard yang betul dan tepat.


Selain itu, ia juga diadakan bagi membina pembangunan kapasiti untuk keyakinan diri dan kemahiran komunikasi berkesan agar mampu berucap di hadapan khalayak ramai, di samping menggalakkan remaja dan belia untuk berfikir, mengolah idea dan mengemukakan pendapat mereka berhubung sesuatu tema yang ditetapkan oleh pihak penganjur.


Close