Penyerahan bendera NBD kepada kontinjen ke Sukan Borneo





Oleh : Khartini Hamir / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas





 

BERAKAS, Rabu, 17 September. - Negara Brunei Darussalam (NBD) akan menyertai Sukan Borneo Ke-6, Tahun 2025 yang akan diadakan di Kuching, Sarawak bermula pada 24 hingga 28 September 2025.


Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera NBD kepada kontinjen NBD ke Sukan Borneo Ke-6 2025, Kuching, Sarawak diadakan pagi tadi bertempat di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.


Hadir menyempurnakan penyerahan bendera negara berkenaan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, selaku tetamu kehormat majlis.


Atur cara majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Guru Ugama Tingkat II, Awang Haji Nuurmatiin bin Haji Abu Bakar, yang turut membacakan Doa Selamat di akhir majlis dan diikuti dengan ucapan oleh tetamu kehormat majlis.


Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera NBD disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis kepada Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, selaku Chef de Mission Kontinjen NBD ke Sukan Borneo Ke-6, Tahun 2025, Kuching, Sarawak.


Atur cara diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat majlis.


Hadir sama pada majlis berkenaan, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke NBD, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan; Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan, pegawai-pegawai kanan KKBS; persatuan-persatuan sukan kebangsaan serta para ibu bapa dan penjaga.


Sukan Borneo Ke-6 merupakan kejohanan pelbagai sukan yang melibatkan peserta dari wilayah dan negara di Borneo yang bermula pada 1955 dan kali terakhir ia diadakan pada 2013 di Wilayah Persekutuan Labuan.


Pada Sukan Borneo Ke-5 di Wilayah Persekutuan Labuan, kontinjen negara telah menyertai sebanyak 11 acara sukan yang dipertandingkan dan berjaya meraih tujuh pingat emas, 11 pingat perak dan 18 pingat gangsa melalui sukan Boling Padang, Futsal, Gasing, Karatedo, Olahraga, Renang, Sepak Takraw, Silat dan Tarik Kalat.


Kontinjen negara akan bertolak ke Kuching, Sarawak pada Isnin, 22 September 2025.

 

Close