Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 16 September. - Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) petang tadi mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi peringkat KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya kelolaan Jabatan Penjara bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 6, bangunan kementerian berkenaan di ibu negara.
Acara juga diselajurkan dengan Majlis Penghargaan bagi Pegawai-Pegawai dan Kakitangan KHEDN dan Jabatan-Jabatan di bawahnya Yang Bersara bagi Tahun 2024.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Guru Ugama Institusi Penjara Maraburong Fasa 3, Awang Muhd. Yusri bin Othman, dan diikuti dengan Ceramah Khas bertajuk 'Kelebihan Selawat, Raih Syafaat' yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Hilman bin Haji Salim.
Sejurus itu, majlis diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara.
Acara kemudian diteruskan dengan penyampaian sijil-sijil dan plak kepada seramai 124 orang pegawai-pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya yang telah bersara bagi Tahun 2024 dan penyampaian cenderamata kepada penceramah yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1447H / 2025M diadakan sebagai wadah bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara sesama pegawai dan kakitangan, di samping sama-sama memohon keberkatan serta keredaan Allah Subhanahu Wata'ala dan meningkatkan lagi rasa kecintaan kepada Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Sementara itu, Majlis Penghargaan bagi Pegawai-Pegawai dan Kakitangan KHEDN dan Jabatan-Jabatan di bawahnya Yang Bersara bagi Tahun 2024 diadakan bagi menghargai jasa baik serta sumbangan ikhlas pegawai-pegawai dan kakitangan di sepanjang mereka berkhidmat di KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Turut hadir ialah Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.