Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 16 September. - Menurut kajian dari luar negara, dianggarkan 60 peratus kejadian yang tidak diingini 'adverse event' yang telah berlaku kepada anak-anak damit yang baru lahir dan kanak-kanak di hospital boleh dicegah.
Antara kejadian yang kerap berlaku adalah seperti kejadian yang melibatkan kesilapan perubatan, jangkitan kuman, kesilapan diagnostik dan kegagalan peralatan mesin perubatan.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan bersempena dengan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia (World Patient Safety Day).
Setiap tahun, jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Hari Keselamatan Pesakit Sedunia (World Patient Safety Day) diraikan pada setiap 17 September di seluruh dunia. Tema Hari Keselamatan Pesakit Sedunia pada tahun ini ialah 'Penjagaan Yang Selamat Untuk Setiap Anak Damit Yang Baru Lahir dan Setiap Kanak-kanak' dengan membawa slogan 'Keselamatan Pesakit Sejak Dari Awal'.
Tema dan slogan ini tambah Yang Berhormat, menekankan kepentingan untuk meningkatkan langkah-langkah yang lebih tegas dalam melindungi anak-anak damit yang baru lahir dan kanak-kanak dari sebarang kecederaan semasa mendapatkan rawatan atau penjagaan dengan berusaha untuk menghapuskan atau mengelakkan apa jua bentuk kemudaratan dalam penjagaan anak-anak damit yang baru lahir dan kanak-kanak.
Menurut Yang Berhormat lagi, objektif Hari Keselamatan Pesakit Sedunia pada tahun ini ialah meningkatkan kesedaran global mengenai risiko keselamatan dalam penjagaan anak-anak damit yang baru lahir dan kanak-kanak di semua peringkat penjagaan kesihatan, dengan memfokuskan khusus kepada keperluan kanak-kanak, keluarga dan penjaga.
Selain itu, ia juga bertujuan bagi menggerakkan pihak kerajaan, organisasi-organisasi penjagaan kesihatan, badan-badan profesional dan masyarakat untuk melaksanakan strategi yang mampan dalam memberikan penjagaan yang lebih selamat kepada anak-anak damit yang baru lahir dan kanak-kanak sebagai sebahagian daripada inisiatif-inisiatif keselamatan pesakit dan kualiti.
Dalam masa yang sama, ia adalah bagi memperkasakan peranan ibu bapa dan penjaga tentang keselamatan anak-anak damit yang baru lahir dan kanak-kanak dengan mempromosikan pendidikan, kesedaran dan penyertaan yang aktif dalam penjagaan kesihatan dan menyokong usaha untuk memperkukuhkan penyelidikan mengenai keselamatan pesakit dalam penjagaan anak-anak damit yang baru lahir dan kanak-kanak.
Yang Berhormat seterusnya berkata, sebagai sebuah negara yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan penduduknya, Negara Brunei Darussalam (NBD) sangat komited dalam memastikan kualiti sistem penjagaan kesihatan anak-anak yang baru lahir dan kanak-kanak mudah diakses ('universal access'), berkualiti tinggi dan selamat.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan terang Yang Berhormat, akan sentiasa meneliti dan mempertingkatkan sistem penjagaan kesihatan di negara ini dengan pengemaskinian pelaksanaan dasar-dasar, garis pandu dan prosedur-prosedur selaras dengan perkembangan semasa dengan mematuhi piawaian kesihatan yang tinggi.
“Kementerian Kesihatan juga menerapkan budaya keselamatan ('safety culture') yang berterusan sebagai salah satu cara dalam mencegah kemudaratan kepada pesakit dengan memastikan setiap suara adalah didengar dan setiap kesilapan dijadikan pengajaran.
“Ini bukan sahaja dapat mencegah kemudaratan dengan lebih berkesan malahan dapat menjana perkhidmatan yang lebih cekap dan selamat," ujar Yang Berhormat.
Sehubungan itu juga tambah Yang Berhormat, Kementerian Kesihatan akan terus mengungkayahkan strategi-strategi kebangsaan bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi dan selamat untuk semua lapisan masyarakat di negara ini seperti berikut iaitu memperkasa amalan klinikal mengikut piawaian antarabangsa bagi mencegah bahaya dari berlaku dan memperkasa ibu bapa serta penjaga dengan pengetahuan yang cukup kerana mereka memainkan peranan yang penting dalam penjagaan kesihatan anak-anak mereka.
Seterusnya, meningkatkan komunikasi dan kerjasama di antara ahli-ahli profesional kesihatan, dengan menyedari bahawa pendekatan sedemikian adalah penting bagi mencegah sebarang kesilapan dan memanfaatkan teknologi dan data, termasuk aplikasi kesihatan kebangsaan, bagi meningkatkan pemantauan dan pengesanan awal risiko, sekali gus memastikan kanak-kanak dan anak-anak damit yang baru lahir menerima penjagaan yang tepat pada masa yang sesuai.
“Keselamatan kanak-kanak dan anak-anak damit yang baru lahir adalah merupakan salah satu pelaburan untuk masa depan negara. Dengan kerjasama daripada semua pihak yang terdiri daripada sektor kerajaan, sektor swasta, keluarga dan semua lapisan masyarakat, setentunya kita akan dapat membina budaya keselamatan untuk melindungi anak-anak damit yang baru lahir dan kanak-kanak dan seterusnya membantu dan membawa mereka untuk berkembang maju.
“Oleh itu, marilah kita sama-sama menghayati tema dan objektif Hari Keselamatan Pesakit Sedunia pada tahun ini untuk memastikan generasi masa depan mempunyai kesihatan yang sihat, selamat dan sejahtera," jelas Yang Berhormat mengakhiri perutusannya.