Pameran raikan 40 tahun penubuhan PDI




Berita dan Foto : Ak. Mohd. Zaki Pg. Haji Kasharan





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 16 September. - Bersempena Sambutan Jubli Delima Pusat Da'wah Islamiah (PDI) yang ditubuhkan pada 1 Muharam 1406 Hijrah bersamaan 16 September 1985 Masihi, satu Pameran Menelusuri 40 Tahun PDI telah diadakan bertempat di Lobi Utama, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).


Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi merasmikan pameran tersebut pada pagi tadi ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.


Pameran yang diadakan selama dua hari, bermula hari ini, 16 September 2025 dan Rabu, 17 September 2025 ini dibukakan kepada orang ramai secara percuma, bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang.


Dengan adanya Pameran Menelusuri 40 Tahun PDI ini akan dapat membawa para pengunjung untuk menjejaki sejarah penubuhan, perkembangan, pencapaian serta peranan PDI dalam usaha mengembangkan dan memperkukuhkan dakwah Islam di Negara Brunei Darussalam (NBD).


Antara segmen utama dalam pameran berkenaan yang terdiri dari Galeri Satu, mempamerkan 'PDI dalam Ristaan Sejarah' sekali gus menampilkan foto-foto dan dokumen lama sejak awal penubuhan.


Manakala dalam Galeri Dua mempamerkan 'Dakwah Dahulu dan Sekarang' turut melihatkan kepada para pengunjung mengenai perjalanan dakwah sepanjang empat dekad penubuhan PDI.


Galeri Tiga yang mempamerkan mengenai 'Impak Dakwah' pula memperagakan empat dekad pencapaian yang mencerminkan usaha institusi ini dalam membentuk masyarakat beragama, berilmu dan berakhlak.


Di samping itu, pameran juga memuatkan reruai interaktif dan aktiviti kuiz spontan dengan hadiah menarik bagi para pengunjung.


Melalui pameran ini, ia diharap dapat memberi impak positif kepada warga PDI, menginspirasi generasi baharu untuk terlibat dalam kegiatan dakwah serta menyumbang kepada masyarakat, serta dijadikan sebagai pameran bergerak yang boleh diperkenalkan di pelbagai lokasi bagi meneruskan misi dakwah dan penyebaran ilmu, seterusnya menyemarakkan semangat dakwah ke seluruh pelusuk negara.


Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, ketika menyempurnakan perasmian Pameran Menelusuri 40 Tahun PDI berkenaan juga melancarkan buku 'Sinar Da'wah 40 Tahun di Negara Zikir'.


Buku penerbitan istimewa ini mendokumentasikan perjalanan dan pencapaian PDI sebagai sebuah institusi yang berperanan dalam pembangunan dan penyebaran agama Islam di NBD.


Sepanjang empat dekad penubuhannya, PDI sentiasa giat berusaha dalam memperkukuh kefahaman Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah Mazhab Syafi'ie melalui pendekatan holistik dan sistematik.


Buku ini menghimpunkan sorotan sejarah penubuhan, transformasi struktur, pencapaian utama, serta inisiatif dakwah yang telah dijalankan dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui ceramah, kursus, penerbitan, mahupun kerjasama jabatan di dalam dan luar negara.


Dalam masa yang sama buku ini turut memuatkan pandangan dan pengalaman dari mantan pegawai PDI yang telah terlibat secara langsung dalam usaha dakwah sepanjang tempoh tersebut.


Diharap buku 'Sinar Da'wah 40 Tahun di Negara Zikir' ini dapat menjadi sumber rujukan yang berharga kepada para pendakwah, warga PDI dan masyarakat umum dalam memahami sejarah perkembangan dakwah di negara ini serta cabaran dan aspirasi di masa hadapan.


Ia juga satu manifestasi komitmen berterusan PDI dalam memartabatkan syiar Islam dalam menyatukan ummah dan menyemai nilai-nilai keislaman yang sejati dalam masyarakat.


Close