Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BOLKIAH GARISON, Isnin, 15 September. - Majlis Doa Selamat bagi pemergian Pegawai Augmentation Interim Observers Team (AIOT) diadakan di Surau Ad-Difa', Bolkiah Garison, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemerintah Angkatan Bersama, Timbalan-timbalan Pemerintah Angkatan Tentera, Pengarah-pengarah, Timbalan Pengarah Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Penasihat Pertahanan Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan warga Kementerian Pertahanan.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat dan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah, diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah, Surah Yaa Siin dan Asmaul Husna.
Atur cara majlis juga mendengarkan penyampaian tazkirah bertajuk 'Kerjasama Dalam Mencapai Keamanan' oleh pegawai dari Jabatanarah Agama, ABDB (JAMA'AT), Awang Mohammad Fahmi bin Haji Matnor.
Majlis kemudiannya disusuli dengan penyampaian cenderahati kepada Pegawai AIOT dan diiringi dengan laungan Dikir Marhaban.
Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Selamat dan Selawat Qiam dan diikuti dengan doa untuk kedua ibu bapa dan memohon kebaikan dunia dan akhirat serta dijauhkan daripada api neraka yang dipimpin oleh Mejar Md. Nasyrul Wafiy bin Haji Mahdini, pegawai dari JAMA'AT ABDB.
AIOT, yang diterajui oleh Malaysia merupakan kumpulan pemerhati ASEAN yang ditugaskan untuk memantau dan membantu mengekalkan gencatan senjata di sepanjang sempadan Kemboja-Thailand selepas tercetusnya konflik pada Julai 2025.
Mejar (U) Pengiran Abdul Azim bin Pengiran Idris selaku perwakilan ABDB bagi AIOT dijadualkan akan bertolak Selasa, 16 September ke Siam Reap, Kemboja.
Penglibatan ABDB ini selari dengan kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri mengenai kesediaan Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam menyokong usaha pengamanan serantau dan antarabangsa dalam memupuk kehormatan bersama, hubungan kejiranan yang baik serta menegakkan kedaulatan negara.
Penyertaan AIOT merupakan simbol sumbangan penting NBD kepada keamanan dan kestabilan serantau serta bukti komitmen berterusan terhadap misi keamanan dan kemanusiaan.