Mewujudkan dunia digital selamat, inovatif, makmur untuk semua




Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said






GADONG, Isnin, 15 September. - Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha berkata, Jawatankuasa Kebangsaan Keselamatan Siber dan ahli-ahlinya, termasuk Keselamatan Siber Brunei (Cyber Security Brunei - CSB) sebagai agensi keselamatan siber kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD), kekal teguh dalam memastikan Infrastruktur Maklumat Kritikal kita dilindungi dan kekal selamat.


Dalam ucaptamanya semasa Persidangan Keselamatan Siber Brunei (CySec) Ke-3, 2025, yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini, Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, CSB memainkan peranan yang pelbagai dan penting dalam keselamatan siber, merangkumi perlindungan, peraturan, kerjasama dan hubungan antarabangsa.


Ke arah ini tambah Yang Berhormat, CSB terus meningkatkan dan memperkukuh keupayaan mereka, termasuk usaha memperkenalkan platform NexGen Security Intel (NSI) ke dalam rangkaian mereka, yang mana sistem generasi baharu berkenaan akan mempertingkatkan pelaporan, pemantauan dan pengawasan.


CSB juga ujar Yang Berhormat, sedang menyediakan garis panduan tambahan baharu untuk pemilik Infrastruktur Maklumat Kritikal, ini termasuk Garis Panduan Keselamatan Teknologi Operasi (Operational Technology Security Guidelines), Garis Panduan Dasar Keselamatan Awan untuk CII (Cloud Security Policy Guidelines for CII), dan Kod-kod Amalan (Codes of Practices) yang dikemas kini.


Jelas Yang Berhormat lagi, CSB turut bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak dalam usaha memerangi penipuan dalam talian dan penipuan digital, antaranya termasuk operasi Pusat Anti-Scam yang diketuai oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama CSB, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI)), dan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) sebagai pemain utama.


"Sehubungan dengan ini, PPDB juga telah melancarkan 'Anti-Scam Helpline 16993', lewat bulan lepas, 30 Ogos 2025 dan talian bantuan berfungsi sebagai pusat panggilan bantuan pertama untuk mangsa atau sesiapa sahaja yang mengesyaki mereka telah ditipu.


"Selain itu, pelancaran 'Waspada.BN' pada awal tahun ini, iaitu platform semakan fakta berbilang agensi berasaskan Instagram semasa yang diuruskan oleh AITI berkaitan penipuan dan maklumat salah, adalah contoh organisasi diberi kuasa untuk melakukan sesuatu.


"Tindakan itu penting, walau sekecil mana pun, ia memberi perbezaan dalam membantu orang ramai melindungi diri," ujar Yang Berhormat lagi.


Dengan semua pihak berganding bahu dengan memperkasa diri kita dan sesama sendiri tekan Yang Berhormat, mereka boleh mewujudkan dunia digital yang bukan sahaja selamat tetapi juga inklusif, inovatif dan makmur untuk semua.


Masyarakat yang celik siber menurut Yang Berhormat, kurang berisiko menjadi mangsa serangan siber, sekali gus mengurangkan risiko keseluruhan.


Persekitaran digital yang selamat tambah Yang Berhormat, menggalakkan inovasi, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi, di mana perniagaan lebih yakin untuk beroperasi secara dalam talian, dan pengguna lebih bersedia untuk melibatkan diri dalam e-Dagang.


Kepercayaan terhadap dunia digital juga kata Yang Berhormat, akan mendorong orang ramai mengakses perkhidmatan penting secara dalam talian kerana mereka berasa selamat dan dapat memupuk perpaduan sosial.


"Ringkasnya, masyarakat celik siber ialah masyarakat yang bertanggungjawab, bijak dan selamat dalam talian.


"Membina masyarakat celik siber adalah satu perjalanan, bukan destinasi, dan ia memerlukan usaha berterusan, pelaburan dan komitmen daripada kita semua.


"Inisiatif seperti persidangan ini memainkan peranan penting dalam memahami cabaran yang semakin meningkat dalam melindungi aset digital dan maklumat sensitif," jelas Yang Berhormat.


Yang Berhormat seterusnya menjelaskan acara sebegini menghimpunkan pakar untuk berkongsi pengetahuan, meneroka teknologi baharu, dan bekerjasama dalam strategi pertahanan berkesan terhadap ancaman siber yang berkembang, dan ia penting untuk memastikan organisasi kekal selamat dan berdaya tahan.


Oleh itu, Yang Berhormat berharap semua peserta dapat berkongsi pandangan, menjalin hubungan, mengambil ilmu yang diperoleh dan menterjemahkannya kepada tindakan sebaik sahaja meninggalkan persidangan berkenaan.


"Marilah kita tinggalkan di sini bukan sekadar dengan ilmu, tetapi dengan inspirasi, untuk membina masa depan di mana keselamatan siber memperkasa kemajuan untuk semua.


"Sempadan digital menuntut kewaspadaan, inovasi, dan tindakan kolektif kita bersama," ujar Yang Berhormat lagi.


Close