Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
SERDANG, Sabtu, 13 September. - Majlis Ceramah Perdana sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah diadakan oleh Mukim Kota Batu, Mukim Mentiri dan Mukim Serasa dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Serdang.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Masjid Serdang itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, juga Ketua Kampung Subok.
Ceramah Perdana disampaikan oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.
Tujuan majlis diadakan sebagai lambang kecintaan selaku umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam untuk terus menghayati sirah Rasulullah dalam kehidupan berkeluarga selaras dengan tema Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Rasulullah contoh terbaik dalam membentuk sebuah keluarga Sakinah, Mawaddah dan Warahmah dengan menghayati dan mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
Di samping itu, majlis juga bertujuan untuk melahirkan generasi keluarga yang positif, sihat, ceria dan bahagia. Selain itu, setiap keluarga perlu memainkan dan tanggungjawab masing-masing agar kehidupan sentiasa dirahmati dan diberkati.
Turut hadir pada majlis tersebut, para jemputan khas terdiri daripada Ahli Majlis MMN, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas dan Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ketua Kampung Belimbing; para pegawai, Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung berserta ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) dan Muslimah Masjid Sungai Besar.