Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
BERAKAS, Sabtu, 13 September. - Pasukan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MOHA) muncul juara pada Kejohanan Bola Sepak Piala Keputeraan 2025 di antara kementerian-kementerian, selepas menewaskan pasukan Jabatan Perdana Menteri (PMO), 3 - 0 menerusi perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.
Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan MOHA membawa pulang piala kurnia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, piala iringan, medal berserta wang tunai sebanyak BND2,000.
Hadir menyaksikan perlawanan akhir tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Juga hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd. Riza bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos.
Perlawanan dari awal memang kelihatan begitu ketara sekali didominasi dan dikawal oleh pasukan MOHA.
Pada separuh masa pertama pasukan MOHA mendahului jaringan gol pada minit ke-32, melalui Mohammad Alinur Rasyimi bin Awang Haji Jefri.
PMO kemudian cuba untuk mengatur serangan untuk menyamakan kedudukan tetapi gagal membolosi tembok pertahanan pasukan MOHA.
Usaha pasukan MOHA untuk menambah jaringan muncul pada separuh masa kedua apabila Muhammad Hafis bin Haji Mahari menyumbat gol ke gawang pasukan PMO pada minit ke-46.
Pasukan MOHA terus menggasak PMO yang cuba untuk bertahan dan membalas serangan sehingga pada minit ke-85, MOHA meraikan gol ketiga yang sekali lagi dijaringkan oleh Mohammad Alinur Rasyimi menjadikan kedudukan 3 - 0 hingga ke wisel penamat.
Penyampaian hadiah kepada pasukan juara, MOHA disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin.
Sementara penyampaian hadiah kepada pasukan naib juara, PMO dan tempat ketiga bersama iaitu Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (MCYS) disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi.
Naib juara dan tempat ketiga bersama masing-masing membawa pulang piala iringan, medal berserta wang tunai BND1,000 dan BND500.
Pada kejohanan tersebut, pemain dari pasukan MOHA, Muhammad Hafis dinobatkan sebagai penjaring terbanyak iaitu sebanyak sembilan gol.
Sementara penjaga gol terbaik diberikan kepada pemain dari PMO, Muhammad Najib bin Asri dan pemain terbaik disandang oleh pemain dari MOHA, Mohammad Alinur Rasyimi.
Kejohanan Piala Keputeraan 2025 merupakan anjuran Jawatankuasa Bola Sepak Piala Keputeraan 2025 dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Persatuan Pengadil Bola Sepak Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 yang disertai oleh 11 buah kementerian.