Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Sabtu, 13 September. - Untuk meneruskan lagi semarak Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya mengadakan Majlis Ceramah Khas Maulidur Rasul bertempat di Dewan Bankuet, Bangunan JPM, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Turut hadir, Timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Pemangku Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, para jemputan khas, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai dan kakitangan JPM serta jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ash-Shaliheen, Awang Haji Mohammed Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Muhammad Ishqal Ezairy@Abdul Mateen bin Mohammad Shahruni dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Ceramah Khas bertajuk 'Rasulullah Qudwah Sepanjang Zaman' disampaikan oleh penceramah undangan, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin.
Antara inti pati ceramah tersebut menekankan Allah Subhanahu Wata'ala telah menyatakan di dalam Al-Quran bahawasanya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam memiliki akhlak yang teragung dan pada diri Baginda terdapat ciri teladan yang terbaik untuk dicontohi oleh setiap manusia.
Maka sebagai umat Islam, kita dituntut untuk meneladani akhlak, sifat dan kehidupan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam segenap aspek, sama ada dalam urusan ibadah, urusan sosial, kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat.
Menurut beliau lagi, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bukan sahaja merupakan seorang nabi utusan Allah tetapi Baginda adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah Subhanahu Wata'ala. Seorang pemimpin yang terbaik, suami yang terbaik, ayah terbaik, sahabat terbaik dan hamba yang terbaik kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Sebagai umat Islam, sudah semestinya kita mengenali, mempelajari serta menghayati sirah kehidupan Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam. Barulah dengan mengenali Baginda, kita akan dapat meneladani kehidupan Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Majlis seterusnya turut diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban yang dibawakan oleh Pasukan Dikir Jabatan Radio Televisyen Brunei.
Majlis ini merupakan salah satu aktiviti tahunan JPM dan Jabatan-jabatan di bawahnya bagi sama-sama menyemarakkan dan memeriahkan lagi sambutan hari kebesaran Islam di samping meraih syafaat Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Majlis ini dianjurkan oleh Bahagian Keselamatan dan Undang-Undang di JPM.