BYLC 2025 memperkasa belia menjadi pemimpin masa depan



​​

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohammad Hasif Matzin






BERAKAS, Khamis, 11 September. - Brunei Young Leaders Convention (BYLC) 2025 menutup tirainya petang tadi dengan memberi penekanan kepada tonggak kedua Wawasan Brunei 2035: Kualiti Hidup yang Tinggi.


Acara yang diadakan di  Cesar Grand Hall, Hotel Mulia, Anggerek Desa dimulakan dengan forum oleh Dynamik Technologies, yang menekankan peranan transformasi digital dan teknologi dalam meningkatkan kesejahteraan negara serta pembangunan masyarakat.


Ia diikuti dengan Forum 3: Kualiti Hidup yang Tinggi, membincangkan inisiatif dalam memperkukuhkan sektor kesihatan, pendidikan, pembangunan komuniti dan kesejahteraan awam secara menyeluruh.


Forum dikendalikan oleh Rakan Kongsi Perniagaan (Pemasaran) di Bank Islam Brunei Darussalam, Awang Zahirul Ghazi bin Haji Jomari, bersama ahli panel Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Pg. Ahmad Faris Ramadhani bin Pg. Haji Sellahuddin; Pakar Sumber Manusia ('Human Resource'), Dayang Hajah Zainab binti Haji M.A. Omar; dan Ketua Pegawai Eksekutif, National Digital Payments Network (NDPX), Awang Hafiz bin Haslen.


Atur cara diteruskan dengan sesi Klinik Mentor yang memberi peluang untuk mendapatkan panduan terus daripada mentor-mentor berpengalaman.


Sesi tersebut membuka ruang bagi para belia untuk bertukar idea, mengajukan soalan, serta menerima nasihat yang bernilai daripada pelbagai bidang kepakaran.


Pada sebelah petang pula, para peserta menampilkan 'Youth Pitching', iaitu pembentangan hasil cadangan dan penyelesaian yang dirangka sepanjang konvensyen bagi menangani cabaran-cabaran penting negara.


Konvensyen tersebut diakhiri dengan Majlis Penutup yang disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, menandakan kejayaan tiga hari program yang penuh berimpak dalam memperkasa belia sebagai pemimpin masa depan Negara Brunei Darussalam.


Kejayaan penganjuran BYLC 2025 berkenaan didukung oleh sokongan padu daripada Rakan Strategik iaitu Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Pejabat Wawasan Brunei, serta Dynamik Technologies.


Bagi tahun ini, Penaja Emas adalah Brunei Fertilizer Industries (BFI) dan Brunei Methanol Company (BMC) yang menunjukkan komitmen mereka terhadap pembangunan kapasiti belia, pendidikan, serta pembangunan mampan.


Rakan rasmi lain termasuk Karyadi (Rakan Platform), Imagine (Rakan Telekomunikasi), Mix Media (Rakan Pengiklanan), Iris Capture Production (Rakan Produksi), Poni Group (Rakan Pemasaran), Kimi (Rakan Logistik), Bulan Sabit Merah Brunei (Rakan Sokongan Pertolongan Cemas), serta Perusahaan WISA (Rakan Busana).


Menutup tirainya, BYLC 2025 sekali lagi membuktikan peranannya sebagai platform nasional utama yang menyatukan belia bersama agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat umum.


Sepanjang tiga hari, para peserta bukan sahaja memperoleh ilmu pengetahuan, berkongsi pengalaman dan membina rangkaian, malah turut menyumbangkan idea yang menyokong pencapaian Wawasan Brunei 2035.


Untuk maklumat lanjut mengenai BYLC 2025, sila layari laman sesawang rasmi, www.bylconvention.com atau ikuti media sosial rasmi di Instagram dan TikTok ('@bylconvention').

 

Close