Menggenggam syahadah hafazan 30 juz bukti ketekunan, pengorbanan, doa





Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami






BERAKAS, Rabu, 10 September. - Mungkin kita pernah mendengar salah satu mutiara kata dari Bahasa Arab, 'Man Jadda Wajada', yang memiliki maksud 'Barangsiapa yang bersungguh-sungguh pasti akan berhasil'. Sungguh benar dan hebat ungkapan motivasi ini jika kita memahami sedalam-dalamnya.


Hakikatnya, untuk menggenggam syahadah (sijil) dalam bidang hafazan 30 juz Al-Quran dan ilmu qira'at bukanlah sesuatu yang mudah tanpa adanya ketekunan dan ketulusan yang sentiasa diterapkan dalam jiwa raga setiap graduan Diploma 'Aliyah Qira'at di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).


Begitu juga segala pengorbanan dan dorongan yang kuat serta doa yang tidak putus-putus daripada ibu bapa dan orang-orang terdekat ditambah dengan bimbingan tekad daripada para pensyarah dan guru-guru pastinya turut menjadi pencetus semangat juang dalam diri setiap graduan sepanjang meniti tempoh tiga tahun pengajian mereka di institut tersebut.


Sehubungan itu, Pelita Brunei berkesempatan menemu bual beberapa orang graduan semasa berlangsungnya Majlis Haflut Takharruj ITQSHHB Ke-13 Tahun 1447 Hijrah bersamaan 2025 Masihi di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, yang mana mereka mengungkapkan luahan penuh kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana melimpahkan keizinan menggapai kejayaan yang sangat berharga khususnya dalam sama-sama mengangkat martabat ayat-ayat suci Al-Quran sekali gus demi mencapai kebaikan hidup dunia mahupun akhirat.


Oleh itu, menerusi kejayaan menamatkan pengajian dalam Diploma 'Aliyah Qira'at, Awang Muhammad Mughni bin Haji Mohd. Salleh yang mendapat keputusan pangkat Mumtaz (Cemerlang) berkata pada asasnya, semua ilmu itu mempunyai kepentingannya masing-masing yang berperanan bagi membantu agama, bangsa dan negara.


“Bagi ilmu qira'at yang saya ceburi ini, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada diri saya sendiri tetapi juga bagi masyarakat dan negara dengan cara memastikan bacaan dan pengajian Al-Quran di Brunei disampaikan dengan sanad yang sahih. Selain itu juga saya percaya ilmu ini dapat digunakan dalam melahirkan generasi yang berilmu dan celik Al-Quran yang menjadikan Al-Quran sebagai teras dan panduan hidup sehingga mampu menjadi benteng kepada negara daripada semua anasir-anasir negatif seperti gejala keruntuhan moral dan akhlak," jelasnya.


Di sebalik kejayaan yang diperoleh ini, kata Awang Muhammad Mughni, pastinya dalam menempuhi liku-liku perjalanan akademik ini tidak terpisah dengan pelbagai cabaran, namun dirinya menyakini betapa mustahaknya untuk sentiasa menjaga sembahyang fardu lima waktu dalam kehidupan sehari-hari kerana waktu-waktu solat itulah yang menjaga kita daripada lalai dan leka dengan tugas-tugas duniawi.


“Waktu solat bukan hanya sekadar waktu untuk mengerjakan solat secara fizikal tetapi ia merupakan terapi rohani untuk kita menyusun semula waktu dan jadual harian kita," ujarnya yang bakal meneruskan pengajian peringkat ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Takhassus Al-Quran Wal Qiraat di Mahad Qiraat Shoubra, Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir di bawah Penganugerahan Skim Biasiswa Sultan's Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi Sesi Pengajian 2025 / 2026.


Seorang lagi graduan yang diraikan, Awang Ahmad Hamizan @ Ahmad Aliridha bin Haji Laidin, antaranya mengungkapkan kejayaan yang dicapai itu tidak hanya diukur melalui keputusan peperiksaan atau sijil yang diperoleh setelah tamat pengajian, tetapi lebih kepada nilai, pengalaman, dan pengajaran yang diraih sepanjang tiga tahun pengajian tersebut. Ia membawa makna yang lebih mendalam kerana bukan sahaja menambah ilmu, bahkan mendidik jiwa serta membentuk peribadi.


“Melalui pengajian Diploma 'Aliyah Qira'at ini, saya belajar erti kehidupan, persahabatan, kesabaran, ketulusan niat, penyucian jiwa, dan sifat tidak mudah berputus asa.


“Pendekatan lahiriah dan rohaniah yang diamalkan sepanjang tempoh ini telah memberi kesan yang mendalam dalam diri saya, dan saya yakin ia akan terus menjadi bekalan berharga yang memberi impak jangka panjang dalam kehidupan, sama ada sebagai seorang individu mahupun dalam menyumbang kepada masyarakat," jelasnya yang juga memperoleh pangkat Mumtaz (Cemerlang).


Dalam pada itu, Awang Ahmad Hamizan turut menegaskan sebagai seorang penghafaz Al-Quran memang tidak terlepas dengan cabaran-cabaran tertentu yang mana salah satu cabaran paling besar yang dihadapi ialah melawan sikap malas dan lalai.


“Secara peribadi, cabaran ini amat sukar untuk diatasi, namun saya belajar bahawa dengan kesungguhan, disiplin, serta doa yang berterusan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, segala urusan akan dipermudahkan. Pengalaman ini telah membentuk saya menjadi seorang yang lebih tabah, tidak mudah berputus asa, serta sentiasa berusaha memperbaiki diri agar istiqamah dalam menjaga Al-Quran," tambahnya yang juga bakal meneruskan pengajian di peringkat ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Takhassus Al-Quran Wal Qiraat di Mahad Qiraat Shoubra, Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir di bawah Penganugerahan Skim Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi Sesi Pengajian 2025 / 2026.


Turut meluangkan masa sejenak untuk berkongsi luahan kesyukuran menerusi kejayaan menamatkan pengajian dalam Diploma 'Aliyah Qira'at pada majlis berkenaan, Dayangku Maisarah binti Pengiran Kamarulzaman yang juga selaku seorang graduan mendapat pangkat Mumtaz (Cemerlang), berkata beliau akan terus bersemangat dalam mempelajari ilmu Al-Quran dan ilmu qira'at ke peringkat yang seterusnya.


“Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, akan tetapi dengan keadaan sekeliling yang mempunyai cita-cita yang sama, matlamat dan hala tuju hidup saya yang sama iaitu menjadi seorang penghafaz Al-Quran yang berkualiti tinggi, ia telah dapat membantu untuk menangani cabaran yang dihadapi," kongsinya tulus.


Di sebalik pencapaian yang dikecapi ini, kata Dayangku Maisarah, sudah setentunya tulang belakang yang sentiasa tidak lepas memberikan sokongan dan doa restu, adalah ibu dan Allahyarham bapa beliau yang selalu mendorong dengan menasihati dirinya untuk terus belajar dengan tekun dan melakukan yang terbaik walau apa pun bidang yang diceburi, terutamanya dalam menjaga hafazan Al-Quran.


“Kejayaan yang saya kecapi hari ini adalah berkat sokongan dan doa mereka yang tidak pernah putus. Selain itu, sokongan daripada para pensyarah, guru-guru dan sahabat-sahabat saya juga memainkan peranan besar dalam mencapai kejayaan ini. Alhamdulillah!


“Kepada rakan-rakan yang masih meniti pengajian di Program Diploma 'Aliyah Qira'at, teruskan perjuangan ini hingga ke akhirnya, semoga kita semua menjadi huffaz yang berjaya menguasai ilmu qira'at sejurus menjadi peneraju dalam memperkasakan pendidikan Al-Quran dan ilmu qira'at demi sama-sama memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara selaras dalam memajukan pendidikan Islam di negara kita, InsyaaAllah," nasihat Dayangku Maisarah di akhir pertemuan bersama Pelita Brunei.


Close