Memperkukuh kecintaan kepada Al-Quran, sunnah



​​


Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami






TUTONG, Selasa, 2 September. - Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Pejabat Ugama Daerah Tutong serta Muslimah daripada Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Kampung Kupang, Daerah Tutong menganjurkan Majlis Dikir Syarafil Anam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Kelas Bimbingan Muslimah Masjid-masjid Peringkat Daerah Tutong yang berlangsung di Masjid Kampung Kupang, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Dayang Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi.


Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan tazkirah bertajuk 'Akhlak Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam : Satu Teladan' yang disampaikan oleh Pegawai Ugama skim latihan Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SkiPPA), Dayang Noorhazalina binti Mohiddin.


Acara turut diserikan lagi dengan persembahan dikir daripada beberapa buah Kelas Bimbingan Muslimah Masjid di Daerah Tutong, iaitu Dikir Assalamualaika daripada Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Kampung Kupang, Dikir Khairuman daripada Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Kampung Telisai, dan Dikir Bishahrin daripada Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong (MHBPT).


Manakala Dikir Alhamdu dipersembahkan oleh Muslimah daripada gabungan Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah (PAIPAS), Kampung Sungai Kelugos dan Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai; Dikir Badat Lana daripada Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Kampung Danau dan Dikir Asyraqal daripada gabungan Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Kampung Birau dan Masjid Kampung Keriam.


Doa Dikir dipimpin oleh tenaga pembimbing Kelas Bimbingan Muslimah MHBPT, Dayang Siti Nur Atiqah binti Haji Ismail, manakala Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh tenaga pembimbing, Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Kampung Kupang, Dayang Hajah Samsiah binti Haji Asmat.


Penganjuran majlis berkenaan bertujuan untuk mengagungkan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam melalui Selawat dan Dikir Syarafil Anam di samping menyemarakkan suasana kerohanian, memperkukuh kecintaan kepada Al-Quran dan sunnah, memupuk ukhuwah Islamiah dalam kalangan Muslimah serta mengukuhkan peranan masjid sebagai pusat bimbingan rohani dan pembangunan masyarakat Islam.


Close