Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohammad Hasif Matzin
TEMBURONG, Selasa, 2 September. - Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya lewat petang tadi meneruskan lagi Majlis Dikir sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di Masjid Kampung Labu Estate, di sini.
Hadir ialah Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu.
Atur cara didahului dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang diketuai oleh Imam Masjid Kampung Labu Estate.
Acara diteruskan dengan bacaan wirid, doa dan bacaan Surah Al-Fatihah, dan diserikan dengan persembahan Dikir Asalamualaika serta Dikir Syarafil Anam daripada kumpulan dikir Jabatan Radio Televisyen Brunei.
Seterusnya, acara diikuti dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, persembahan Dikir Marhaban, bacaan doa memohon kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar negara terselamat daripada bala bencana dan segala jenis penyakit, serta bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darusalam.
Majlis diakhiri dengan penyerahan sumbangan wakaf oleh Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM kepada wakil Masjid Kampung Labu Estate.
Sambutan pada tahun ini dianjurkan bersama oleh Bahagian Sekuriti dan Undang-Undang JPM dan Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.