Berita dan Foto : Ak. Mohd. Zaki Pg. Haji Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 2 September. - Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya pada malam tadi menghadiri Majlis Dikir sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang diadakan di Masjid Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Ahli Jawatakankuasa Takmir (AJKT) Masjid dan Muslimah Masjid UBD dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Pos, MTIC.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku ketua rombongan MTIC.
Turut hadir, Setiausaha Tetap di MTIC, Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di MTIC, Awang Haji Hairul Mohd. Daud bin Haji Abdul Karim; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di MTIC, Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar.
Juga hadir sama bagi memeriahkan lagi majlis berkenaan ialah ketua-ketua eksekutif, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan MTIC, jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya di samping Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan Muslimah Masjid.
Majlis Dikir Maulud dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, diikuti dengan bacaan Dikir Assalammualaika dan Dikir Syarafil Anam.
Setelah Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, majlis diteruskan lagi dengan Dikir Asyrakal, dan bacaan Doa Dikir dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis berkenaan diadakan bagi memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta menyemarakkan syiar Islam dan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga kementerian dan masyarakat.