Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 2 September. - Majlis Bercorak Keagamaan bersempena Sambutan Maulidur Rasul Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi malam ke-10 diteruskan lagi malam tadi di Istana Nurul Iman.
Hadir di ruangan lelaki pada majlis berkenaan, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, yang juga selaku Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-piasau, Daerah Temburong; dan Timbalan Setiausaha Tetap 1, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Haji Mohammad Yusree bin Haji Junaidi.
Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar dan disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Pegawai Pelajaran, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Awang Ahmad Syuja'iee bin Begawan Mudim Haji Metassim.
Majlis turut diserikan lagi dengan tazkirah bertajuk 'Sirah Zaman Menjelang Kerasulan' yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa, yang juga Ketua Unit Da'wah Daerah Belait.
Persembahan dikir seterusnya mengalunkan Dikir Assalamualaika dan Dikir Asyraqal, diikuti Dikir Khairuman, Dikir Bisyahrin, Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat, sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Doa Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Sementara di ruangan wanita, tazkirah bertajuk 'Sirah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Ketika Diangkat Menjadi Rasul' disampaikan oleh Penolong Pegawai Ugama, PDI, Dayang Hajah Nur Hasyimah binti Haji Mohd. Yassin.
Hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap, KSSUP, Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; dan Timbalan Setiausaha Tetap II, KSSUP, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim.
Majlis juga dihadiri oleh pegawai serta kakitangan KSSUP; Majlis Perundingan Kampung (MPK) Daerah Temburong; Kumpulan Belia Masjid (KBM) Masjid-masjid Daerah Temburong, dan Bahagian Pelajaran Lanjutan dan Bahagian Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam, KHEU.