Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
MENGKUBAU, Selasa, 2 September. - Majlis Dikir sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi di Daerah Brunei Muara diadakan di Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Atur cara dimulai dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, diikuti dengan bacaan Dikir didahului dengan Dikir Assalamu'alaika oleh pasukan Dikir Ahli Takmir Masjid An-Na'im Kampung Panchor Mengkubau.
Diteruskan dengan Dikir Bishahrin oleh pasukan Dikir Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kawasan 2 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri, manakala Dikir Khairuman dan Asyraqal Badru pula dipimpin oleh pasukan Dikir gabungan Kawasan 1 hingga Kawasan 5 RPN Kampung Panchor Mengkubau.
Manakala, bacaan Doa Dikir pula dipimpin oleh Imam Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau, Awang Suhif @ Syu'aib bin Haji Abdullah.
Manakala bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam (NBD) serta doa agar NBD terselamat daripada bala dan segala penyakit dikepalai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau, Awang Muhammad Saifullah bin Haji Rosli.
Majlis antara lain diadakan bagi sama-sama menyemarakkan lagi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam dan memeriahkan lagi suasana Sambutan Maulidur Rasul serta menggalakkan warga kementerian untuk terus berselawat dan memuji Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dalam kalangan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung di Daerah Brunei dan Muara, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya serta Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung, Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung.