Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Muhammad Asri Haji Awang Abas, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 2 September. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam (NBD) kepada 36 penerima sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79, Tahun 2025 yang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman, di sini.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran NBD didahului dengan pengurniaan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Keempat (S.U.B) kepada seorang penerima dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) diikuti dengan pengurniaan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (P.S.B) kepada 31 penerima.
Para penerima terdiri daripada sembilan pegawai dari Pejabat Kebawah DYMM, dua pegawai dari JPM, seorang pegawai dari Kementerian Kesihatan, tiga pegawai dari Kementerian Pendidikan dan 16 penerima daripada sektor swasta.
Sementara itu, seramai empat orang dikurniakan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Kelima (P.U.B) terdiri daripada seorang pegawai dari JPM dan tiga pegawai dari KHEU.
Juga berangkat dan hadir pada istiadat berkenaan ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pengiran-pengiran Peranakan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran NBD diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.









