Oleh : Aimi Sani / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
LAMBAK KANAN, Isnin, 1 September. - Seiring dengan hala tuju Wawasan Brunei 2035, kita hendaklah memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan digital negara. Ini termasuklah warga emas, yang tetap menjadi tunjang penting dalam keluarga dan masyarakat kita.
Berucap pada Majlis Pembukaan Bengkel Mengenali Kecerdasan Buatan (AI) bagi Warga Emas, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee seterusnya berkata bahawa hari ini kita membincangkan mengenai AI. Kedengarannya mungkin sesuatu yang besar dan rumit tetapi sebenarnya ramai di antara kita sudah pun menggunakannya.
“Apabila Facebook atau YouTube mencadangkan video masakan kegemaran atau lagu lama yang membangkitkan kenangan, apabila telefon pintar kita meramal perkataan seterusnya ketika menaip, atau ketika kehidupan harian dipermudahkan seperti memakai suara kita sahaja untuk memadam lampu, itulah AI yang membantu kita tanpa kita menyedarinya.
“Namun, dalam masa yang sama, AI juga membawa cabaran dan risiko yang perlu kita beri perhatian. Antara risikonya ialah panggilan atau video palsu seperti 'deepfake'.
“Penjenayah siber menggunakan AI untuk meniru suara atau wajah anak dan cucu kita, meminta pertolongan atau wang dengan segera. Ia kelihatan benar tetapi sebenarnya satu penipuan. Selain itu ialah penipuan pelaburan palsu. Ramai orang menjadi mangsa melalui mesej mesra di Facebook atau WhatsApp. Pada awalnya kelihatan seperti perbualan biasa, tetapi akhirnya mereka dipujuk masuk ke skim pelaburan palsu," jelas beliau.
Yang Berhormat seterusnya menegaskan, inilah sebabnya program hari ini amat penting, kerana bukan hanya sekadar memperkenalkan manfaat AI tetapi juga mengongsikan ilmu dan memberi keyakinan untuk berhadapan dengan cabaran digital.
Bengkel Mengenali AI bagi Warga Emas ini adalah merupakan anjuran Kumpulan WELEARN.AI (Warga Emas Learning AI) dan telah diadakan hari ini bertempat di Dewan Kemasyarakatan Lambak Kanan 2, Berakas.
Bengkel ini merupakan salah satu daripada Community Outreach Project dikendalikan di bawah Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan Kali Ke-36 (EDPMMO-36) yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai AI dan seterusnya menggalakkan penggunaannya secara positif khususnya dalam kalangan warga emas.
Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Pembukaan Bengkel tersebut ialah Ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee.
Bengkel turut menyaksikan penglibatan daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Cyber Security Brunei, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Payung Aman sebagai penceramah.
Bengkel turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan kongsi dan penaja-penaja terdiri daripada BIBD, Imagine Sdn. Bhd., Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Payung Aman, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei dan Muara serta Pertubuhan WARGAMAS Brunei.