Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 25 Ogos. - Sesungguhnya amalan berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan satu amalan yang agung. Maka sangat dianjurkan kita untuk memperbanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kerana banyak kelebihan atau fadilat utama amalan berselawat.
Bersempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang disambut pada 12 Rabiulawal setiap tahun, Majlis Bercorak Keagamaan bersempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah diadakan di Istana Nurul Iman, malam tadi.
Antara yang hadir ke majlis berkenaan adalah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Majlis berkenaan dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah yang diimamkan oleh Awang Zulhazmi bin Haji Salleh dan kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar beramai-ramai.
Majlis disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran ayat Al-Muzammil dari ayat 1 hingga 19 oleh Awang Haji Mosliadi bin Haji Kamis (Brunei II A). Manakala tazkirah bertajuk 'Menghayati Sunnah Rasulullah' disampaikan oleh Awang Haji Hazimin bin Haji Metali.
Seterusnya persembahan diteruskan dengan Dikir Assalaimualaika dan Asyrakal daripada Kementerian Pertahanan sementara Dikir Khairuman dari JAMA'AT dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara membawakan Dikir Bisyahrin serta Persembahan Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat dibawakan oleh Jabatan Pengajian Islam (JPI), Bahagian Sekolah Ugama (Brunei I). Manakala Doa Dikir dan Doa Peliharakan Sultan dibacakan oleh Awang Saufi bin Haji Suhaini.
Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, pegawai dari Kementerian Pertahanan, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara dan JPI, Bahagian Sekolah Ugama (Brunei I).
Manakala bagi jemaah perempuan pula, Majlis Bercorak Keagamaan bersempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah diadakan di Surau Kecil, Istana Nurul Iman.
Majlis tersebut dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah dan kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar, disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Manakala tazkirah bertajuk 'Teladani Kekeluargaan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Melalui Sirahnya' disampaikan oleh Dayang Siti Juhaidah binti Haji Bujang antara lain menyentuh mengenai dengan peristiwa turunnya wahyu pertama mengajarkan bahawa sokongan keluarga itu sangatlah penting.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan Siti Khadijah Radiallahuanha menjadi contoh unggul bagaimana kasih sayang, keyakinan dan sokongan keluarga menjadi benteng utama dalam menghadapi cabaran kehidupan dan perjuangan.
Majlis diteruskan dengan persembahan Kementerian Pertahanan dengan Dikir Assalaimualaika dan Asyrakal sementara Dikir Khairuman daripada Persatuan Husna Hurul Ain dan Muslimah Masjid Omar 'Ali Saifuddien, JPI membawakan Dikir Bisyahrin serta Persembahan Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat dibawakan oleh JPI Bahagian Sekolah Ugama (Brunei II A).