Oleh : Aimi Sani / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
BERAKAS, Isnin, 25 Ogos. - Dayang Nurfitriyah Zhufairah binti Ramli dari Sekolah Rendah Bengkurong dengan tajuk cerita 'Projek Hijau Aiman : KomposHub' muncul johan bagi Kategori 'A' - Bahasa Melayu pada Pertandingan Mari Bercerita 2025 Peringkat Akhir yang berlangsung di Balai Sarmayuda Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas, hari ini.
Sementara itu, Dayang Nur Adriana Natasha binti Mohamad Khairin dari Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar Kiarong dengan tajuk cerita 'Natasha's Magical Wake-up Call' pula muncul juara bagi Kategori 'B' - Bahasa Inggeris.
Pertandingan Mari Bercerita 2025 Peringkat Akhir merupakan kerjasama antara DBP dengan Pejabat Wawasan, Jabatan Perdana Menteri (JPM). DBP melalui Bahagian Perpustakaan dalam usahanya menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengungkayahkan projek tahunan ini iaitu Pertandingan Mari Bercerita.
Pertandingan ini bertujuan untuk memupuk semangat membaca dalam kalangan kanak-kanak dan meningkatkan daya imaginasi mereka serta upaya DBP untuk memperkasakan budaya membaca di Negara Brunei Darussalam.
Tema pertandingan pada tahun ini ialah 'Suara Muda, Suara Dunia' yang berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Sebanyak dua kategori dipertandingkan, iaitu Kategori 'A' - Bahasa Melayu dan Kategori 'B' - Bahasa Inggeris.
Hadir selaku tetamu kehormat pada pertandingan akhir tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ketua Kampung Subok yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para pemenang Pertandingan Mari Bercerita 2025.
Terdahulu, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab selaku Pengerusi.
Seramai lapan peserta bertanding di Peringkat Akhir, iaitu empat peserta bagi setiap kategori. Juara Pertandingan Mari Bercerita 2025 menerima wang tunai sebanyak BND150 manakala naib juara pula menerima wang tunai BND100 dan pemenang ketiga menerima wang tunai BND80.
Hadiah sagu hati juga diberikan kepada peserta iaitu wang tunai BND50. Kesemua pemenang turut menerima langganan setahun Majalah Mekar dan Naindung terbitan DBP serta cenderamata tajaan daripada rakan strategik dan rakan korporat.