Berkenan berangkat ke Malaysia




Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman, Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohammad Hasif Matzin, Ak. Mohd Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 25 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat ke Malaysia, hari ini, bagi mengadakan Keberangkatan Negara pada 26 Ogos 2025 dan seterusnya menghadiri Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan Kali Ke-26 di antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Malaysia.


Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.


Sebelum berangkat dari Istana Nurul Iman, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.


Berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.


Berangkat sama dan hadir di Hangar Penerbangan Kebawah DYMM bagi menyembahkan selamat berangkat ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria; Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara; Menteri-menteri Kabinet; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja; Timbalan-timbalan Menteri; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Close