Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
TUNGKU, Jumaat, 15 Ogos. - Festival Teater Nasional Brunei (NTFB) kali keempat telah dirasmikan malam tadi bertempat di Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) Arts Centre, Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat pada festival tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.
Bertemakan, 'Rooted in Brunei Culture', festival pada edisinya kali ini bertujuan untuk menonjolkan kisah-kisah Brunei dan pada masa yang sama mengingatkan kita tentang warisan dan budaya yang kita miliki.
Festival yang diadakan selama tiga hari itu telah menarik lebih dari 1,800 penonton untuk menyaksikan persembahan teater tempatan.
Pada masa yang sama, edisinya pada tahun ini juga menyaksikan penyertaan 11 kumpulan teater tempatan yang menyorot persembahan berbahasa Melayu, Inggeris dan tarian.
Antaranya adalah Akademi Panggung Sri Utama Entertainment (APSUE); Atuyaa Entertainment; Bruhaha Comedy; Brunei Amateur Dramatic Society (BADS); Kumpulan PUTRA Seni (KPS); Medley House Productions; Latup Entertainment; 247 Studios; Rakis UBD; Studio Elevẽ; dan Step One Theatre.
Pengarah NTFB, Awang Syazni Bakar dalam ucapannya mengongsikan mengenai peningkatan yang ketara penyertaan kumpulan teater menyertai festival pada kali ini, di mana menurut beliau, seni persembahan Brunei juga semakin berkembang dan kukuh.
Beliau menambah, pertandingan drama sekolah di peringkat kebangsaan adalah sebagai salah satu usaha untuk merapatkan jurang antara penggiat seni teater dan bakat-bakat muda yang sedang meningkat di seluruh negara.
Seterusnya, beliau menyatakan, melalui platform NTFB, komuniti seni persembahan akan dapat terus berkembang dan maju ke tahap yang lebih tinggi. Menurutnya, setiap kumpulan dijadualkan untuk mempersembahkan pementasan asal yang berdurasi kurang daripada satu jam.
Selain itu, beliau berkata, beberapa kumpulan juga akan menganjurkan bengkel, yang merupakan peluang bagi orang awam untuk mempelajari seni pementasan teater, daripada penulisan skrip hingga lakonan, serta aspek sosial dalam teater.
Festival yang diadakan sehingga 17 Ogos juga akan menyaksikan penyertaan para penuntut terdiri daripada sekolah kerajaan dan swasta bersaing dalam peringkat akhir Pertandingan Drama Pentas Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2025.
Pertandingan tersebut terbuka kepada para penuntut Tahun 7 hingga 9 dengan tema pertandingan, Wawasan Brunei 2035. Menjelang peringkat akhir pertandingan, para penuntut telah dibimbing oleh pakar melalui bengkel penulisan skrip, lakonan dan aspek teknikal teater.
Pertandingan ini diadakan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan, serta Pejabat Wawasan Brunei di Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM).
Lima sekolah yang berjaya masuk ke peringkat akhir adalah Mahad Islam Brunei; Sekolah Ugama Arab Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha; Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong; Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Harga tiket bagi menghadiri bengkel adalah antara BND1 hingga BND5, manakala tiket persembahan berharga BND10 setiap satu, dan pas festival untuk menonton kesemua 11 pementasan teater berharga BND25.
Orang awam boleh membeli tiket dengan melayari laman sesawang NTFB di 'https://ntfbrunei.com/' atau membeli secara terus di pintu masuk.
NTFB dianjurkan oleh 247 Studios dengan kerjasama rakan kreatif Longan Digital dan AICREATIVV, serta disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).