Perkukuh daya tahan ekonomi melalui kepelbagaian sektor, pembaharuan dasar




Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman 





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Ogos. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof menerangkan, bagi Matlamat Ketiga, iaitu Ekonomi yang Dinamik dan Berdaya Tahan, yang dipandu oleh Economic Blueprint, di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi.


Perbahasan mengenai ekonomi menurut Yang Berhormat memberi tumpuan kepada strategi memperkukuh daya tahan ekonomi melalui kepelbagaian sektor dan pembaharuan dasar yang berimpak tinggi.


Pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II menekankan, cadangan utama merangkumi pengurangan kebergantungan terhadap sektor minyak dan gas melalui pembangunan sektor bukan minyak dan gas seperti pertanian moden, pelancongan, ekonomi hijau dan ekonomi kreatif.


Selain penerapan teknologi digital dan pemerkasaan inovasi sebagai pemacu pertumbuhan baharu, Yang Berhormat menerangkan, pengembangan keusahawanan tempatan, khususnya melalui sokongan bersepadu kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, termasuk pengukuhan perindustrian kotej (cottage industries) dan memperluas inisiatif Satu Kampung Satu Produk (1K1P).


Kongsi Yang Berhormat, perbahasan juga menyeru mengenai penyusunan dasar ekonomi dan kewangan / fiskal melalui proses rundingan bersama pihak-pihak berkepentingan, bagi memastikan dasar yang telus, praktikal dan mesra pelabur.


Selain itu, kata Yang Berhormat, pemantapan ekosistem pelaburan bagi menarik Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investment - FDI) yang berkualiti tinggi dan memudah cara pertumbuhan perniagaan tempatan, termasuk dengan menyediakan tapak-tapak industri yang lengkap dengan infrastruktur asas, kemudahan logistik dan dukungan teknikal.


Langkah-langkah tersebut, terang Yang Berhormat lagi, bukan sahaja dapat meningkatkan daya saing perniagaan tempatan, malah berupaya menjana lebih banyak peluang pekerjaan, memperkukuh ekonomi luar bandar dan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran, khususnya dalam kalangan belia dan graduan. Pendekatan ini selaras dengan usaha ke arah pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan seimbang.


“Keperluan bagi membangunkan infrastruktur ekonomi yang moden, mampan dan lestari juga ditekankan termasuk pembangunan infrastruktur logistik dan digital; perlindungan alam sekitar melalui dasar mesra iklim dan ekonomi hijau; dan tadbir urus ekonomi dan fiskal yang berintegriti dan efisien.


“Secara keseluruhan, matlamat ketiga ini mendukung aspirasi untuk membangunkan ekonomi yang terbuka, berdaya saing di peringkat global, saling berintegrasi, produktif dan mesra alam, selaras dengan aspirasi yang digariskan dalam Economic Blueprint," tambah Yang Berhormat.


Sebelum mengakhiri rumusan, Yang Berhormat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli Yang Berhormat atas sokongan padu terhadap Usul Wawasan Brunei 2035 yang telah dibentangkan.


“Dengan penuh rasa tanggungjawab dan keazaman, peramba, kaola, saya menyeru agar kita bersama-sama melaksanakan Wawasan Brunei 2035 secara menyeluruh dan inklusif, berlandaskan prinsip Maqasid Syariah, tadbir urus yang baik, dan kelestarian jangka panjang, ke arah masa depan negara yang lebih cemerlang, makmur dan sejahtera.


“Perbahasan yang berlangsung di dewan yang mulia ini memperlihatkan iltizam dan kesungguhan bersama dalam menjulang tinggi titah dan hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam," jelas Yang Berhormat.


Tambah Yang Berhormat lagi, segala pandangan yang dikemukakan yang bernas dan berpandangan jauh, memperkukuh asas pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 dengan penuh amanah, dan istiqamah. Kejayaan Wawasan Brunei 2035 adalah tanggungjawab bersama, yang memerlukan penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat serta pihak berkepentingan dan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di atas bahu kerajaan semata-mata.


Pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation, jelas Yang Berhormat, perlu terus diperkukuh dan dipertingkatkan lagi agar seluruh sektor negara bergerak seiring, saling mendukung ke arah satu matlamat membina Negara Brunei Darussalam yang maju, makmur dan berdaya tahan.


Yang Berhormat seterusnya menjelaskan Wawasan Brunei 2035 adalah amanah generasi, warisan masa depan yang wajib dipelihara dan direalisasikan. Kemakmuran hari ini perlu dipertahankan agar dapat dinikmati oleh generasi akan datang.


Justeru, tekan Yang Berhormat, kita perlu bersatu, cekap menangani cabaran, pantas dan bijak merebut peluang dan sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai agama, budaya dan jati diri bangsa.

 

“Sepertimana hadis sahih Al-Bukhari, Muslim, Termidzi dan Musnad Imam Ahmad, yang berbunyi "Seorang Mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan, yang saling menguatkan antara satu sama lain." (Kemudian Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyilangkan jari-jarinya sebagai gambaran). Nilai dalam hadis ini selari dengan semangat Wawasan Brunei 2035, yang menekankan peranan bersama dalam membina negara. Setiap lapisan masyarakat perlu berganding bahu, saling memperkukuh dan menyumbang ke arah pembangunan yang kukuh dan bersepadu seperti bangunan yang tersusun dari batu-bata yang saling menyokong antara satu sama lain," kongsi Yang Berhormat.


Berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja sebagai tonggak kekuatan dan identiti negara, Yang Berhormat mengajak kita merapatkan saf dan terus melangkah ke hadapan dengan yakin dalam memperkukuh institusi, memperkasa pendidikan serta memelihara kedaulatan dan perpaduan negara secara berterusan. InsyaaAllah, dengan landasan ini, Negara Brunei Darussalam, akan dilimpahi rahmat sebagai sebuah negara 'Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafur' - negeri yang baik, aman dan diberkati Allah yang Maha Pengampun.


 “Akhir kata, peramba, kaola, saya menutup rumusan ini dengan iringan doa agar segala usaha kita mendapat keberkatan dan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala, perpaduan rakyat terus utuh dan perjalanan menuju masa depan yang aman dan sejahtera dengan gerak langkah yang senantiasa dipermudahkan. Amin Ya Rabbal Alamin.


 “Marilah kita sama-sama memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, raja dan Ulil Amri kesayangan rakyat berserta ahli kerabat diraja, terus dikurniakan nikmat lanjut usia, kesihatan yang berpanjangan, serta kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan penuh kebijaksanaan dan keberkatan. Amin Ya Allah, Amin Ya Rabbal Alamin," tambahnya lagi.

Close