Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Ogos. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof menjelaskan berhubung Matlamat Kedua iaitu Kualiti Kehidupan Rakyat yang Tinggi, yang dipacu melalui Social Blueprint dan diterajui oleh JPM bersama Majlis Kebangsaan Isu Sosial.
Pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini, Yang Berhormat berkata, perbahasan menekankan terhadap asas kepada kualiti hidup rakyat yang tinggi bertitik tolak daripada masyarakat yang inklusif, institusi kekeluargaan yang kukuh dan sistem dukungan sosial yang mampan.
Menurut Yang Berhormat lagi, antara aspek penting yang diketengahkan ialah pemerkasaan institusi keluarga sebagai unit asas masyarakat melalui sokongan keluarga, penerapan nilai-nilai kekeluargaan serta keseimbangan kerja dan keluarga (work-family balance) dan pengukuhan jaringan keselamatan sosial dengan pendekatan bersasar bagi mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan secara berterusan.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan mengenai penambahbaikan dasar bantuan kebajikan dicadangkan melalui integrasi nilai berdikari, semangat 'berkarih' dan penghayatan nilai agama dan galakan penyertaan penerima-penerima bantuan dalam aktiviti ekonomi dan komuniti, bagi membina rakyat yang mandiri dan bertanggungjawab.
Tambah Yang Berhormat, langkah-langkah lain ke arah kesejahteraan rakyat termasuk usaha bersepadu dalam membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang sosioekonomi; penyediaan perkhidmatan sosial dan kemudahan asas yang inklusif, terutama di kawasan luar bandar dan pemerkasaan kesihatan awam dan kesejahteraan mental sebagai sebahagian daripada agenda sosial.
Perbahasan juga menggariskan keselamatan, kestabilan dan keamanan negara adalah prasyarat dan asas utama kejayaan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035.
Ini, terang Yang Berhormat, termasuk pemerkasaan kesiapsiagaan agensi penguatkuasaan; kerjasama rentas agensi dan kesedaran awam terhadap pematuhan undang-undang dan dasar luar negara yang proaktif dalam menjamin kedaulatan, memupuk persefahaman serantau dan menjalin hubungan strategik antarabangsa.
Kesemua pendekatan tersebut, jelas Yang Berhormat, mendukung aspirasi untuk mewujudkan masyarakat yang mandiri, inklusif, saksama dan berdaya tahan, sepertimana yang digariskan dalam Social Blueprint.