Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Ogos. - Wawasan Brunei 2035 kini digerakkan melalui pelaksanaan tiga 'blueprint' iaitu Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint.
Perbahasan Usul Wawasan ini berlangsung secara telus dengan mengemukakan cadangan yang membina. Kaola rumuskan berdasarkan kemajuan, cabaran dan keperluan strategik dalam memenuhi tiga matlamat utama wawasan tersebut.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II menggariskan, bagi Matlamat Pertama, iaitu Rakyat Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya, yang digerakkan melalui Manpower Blueprint dan diterajui oleh Kementerian Pendidikan bersama Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan, Ahli-ahli Yang Berhormat menekankan pentingnya transformasi sistem pendidikan secara menyeluruh, sejajar dengan keperluan ekonomi masa depan dan perubahan landskap teknologi global.
Kongsi Yang Berhormat, cadangan utama antaranya termasuk pengukuhan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan kerjasama industri agar lebih sejajar dengan keperluan pasaran kerja dan mewujudkan budaya pembelajaran sepanjang hayat melalui platform yang fleksibel dan inklusif.
Selain itu, tambah Yang Berhormat, penekanan terhadap pembangunan kemahiran abad ke-21, termasuk literasi digital, kreativiti, pemikiran kritikal dan keusahawanan serta penyediaan satu skim insentif kepada majikan dalam memberikan latihan secara berterusan kepada pelajar dan graduan.
Dalam menangani ketidaksepadanan kemahiran, menurut Yang Berhormat, perbahasan menyarankan agar penelitian semula sistem pendidikan secara berterusan bagi menilai keberkesanan kurikulum dan latihan; penyelarasan berstruktur antara institusi pendidikan, industri, agensi kerajaan dan pengawal selia serta pemadanan kerja lebih efektif melalui platform kerjaya kebangsaan dan pengukuhan skim perantisan dan latihan industri.
“Tumpuan juga diberikan kepada penyediaan data ramalan pasaran buruh secara 'data-driven' bagi memandu institusi pengajian tinggi dalam menentukan keutamaan kursus dan memperkasa pemilihan kerjaya pelajar.
“Semua ini bertujuan untuk melahirkan rakyat yang berpengetahuan tinggi, kompeten, adaptif dan berdaya saing, selaras dengan pembangunan modal insan yang dinamik, berfokus, berkebolehpasaran selaras dengan keperluan negara dan bersiap siaga menghadapi masa depan, sekali gus memenuhi keperluan industri yang sentiasa berkembang," kata Yang Berhormat lagi.