Pastikan Wawasan Brunei 2035 dinikmati seluruh rakyat




Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman 





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Ogos. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dalam rumusan Usul Wawasan Brunei 2035 hari ini menyatakan, jelas terserlah satu iltizam bersama dalam kalangan kita semua untuk memastikan Wawasan Brunei 2035 tidak sebagai aspirasi dasar semata-mata tetapi direalisasikan sebagai satu kenyataan yang benar-benar dapat dirasai dan dinikmati oleh seluruh rakyat secara inklusif, saksama dan mampan dalam kehidupan seharian.


Pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi, Yang Berhormat berkata, Ahli-ahli Yang Berhormat telah membangkitkan isu-isu strategik yang menyentuh pelbagai aspek utama pembangunan negara, termasuk kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus; penyelarasan dasar merentas sektor dan agensi; peningkatan kualiti dan kesiapsiagaan modal insan; pemerkasaan institusi kekeluargaan dan sosial; jaminan pembangunan yang adil, inklusif dan berpaksikan rakyat; pengukuhan keselamatan, kestabilan dan keamanan negara; dasar dan hubungan luar negara yang berprinsip dan membawa kepada kepentingan negara serta kerjasama, keamanan dan kemakmuran bersama; dan transformasi struktur ekonomi ke arah pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mampan, berdaya saing dan kukuh berasaskan kesejahteraan masyarakat.


“Dewan ini juga menekankan kepentingan penghayatan dan pelaksanaan secara bersepadu tiga 'blueprint', iaitu Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint. Ketiga-tiga 'blueprint' ini perlu dilihat sebagai saling melengkapi antara satu sama lain demi mencapai matlamat yang holistik dan mampan.


“Sehubungan itu, pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation bukannya satu pilihan, sebaliknya suatu keperluan dan keutamaan bagi memastikan dasar yang digubal benar-benar diterjemahkan kepada hasil yang konkrit dan memberikan manfaat yang nyata dan impak besar kepada rakyat dan negara," ujar Yang Berhormat. 


Dalam usul tersebut, Yang Berhormat seterusnya menyatakan daripada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Titah Perutusan sempena Menyambut Awal Tahun Masihi 2025, baginda menegaskan bahawa “...mengekalkan perpaduan adalah penting kerana perpaduan merupakan kunci pembangunan, di mana setiap lapisan masyarakat jika kekal bersatu, hidup harmoni, saling hormat-menghormati dan bekerjasama, maka segala cabaran akan dapat ditangani dengan baik. Ditambah lagi dengan pegangan agama yang kuat, akan memastikan Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang aman, makmur dan kekal merdeka lagi berdaulat."


Melalui kurnia titah baginda ini, Yang Berhormat berkata bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menegaskan bahawa perpaduan kebangsaan dan pegangan agama yang kukuh merupakan teras kepada kestabilan, keamanan kedaulatan negara. Dalam konteks pembinaan negara, nilai-nilai seperti hormat-menghormati, keharmonian sosial dan kerjasama antara masyarakat dan agama adalah elemen penting yang perlu dipelihara dan diperkukuh.


Selaras dengan itu, tambah Yang Berhormat, penglibatan aktif semua pihak dan lapisan masyarakat, sama ada di peringkat kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat mahupun individu seperti para belia, wanita, usahawan, adalah amat penting. Kesedaran bahawa setiap individu mempunyai peranan tersendiri dalam pembangunan negara perlu ditanam dan dibudayakan secara meluas.


Ujar Yang Berhormat, maka usaha menyemai semangat tanggungjawab kolektif terhadap Wawasan Brunei 2035 harus diperhebatkan. Wawasan ini bukan sekadar dokumen dasar, tetapi merupakan hasrat kebangsaan untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang berilmu, berdaya saing dan beridentiti kebangsaan yang utuh. Justeru, semua pihak harus tampil sebagai pemacu dan pelaksana, bukan hanya sebagai penerima manfaat.


Close