Oleh : Mohammad Rainie Haji Durani / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Ogos. - Usul mengenai Wawasan Brunei 2035 dan usul supaya Majlis Mesyuarat Negara (MMN) menyertai menjadi ahli penuh dalam Inter-Parliamentary Union (IPU) dan dalam Commonwealth Parliamentary Association (CPA) memberikan impak positif dan signifikan, mencerminkan negara berada dalam landasan yang betul ke arah menepati aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa tempoh 30 tahun pada 2035 menandakan kemunculan generasi baharu negara.
Generasi baharu wawasan bersama generasi sekarang sebagai pemangkin pada masa ini yang dikenali sebagai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, kualiti kehidupan mereka adalah kehidupan yang berkualiti tinggi dan negara mereka Negara Brunei Darussalam, ekonominya adalah ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
Mulai tahun 2035, kedua-dua generasi ini akan 'menjelamai' Brunei dalam ekosistem pendidikan negara yang Islami yang hasilnya menjadikan mereka individu Islam yang mampu berkehidupan sebagai sebahagian rakyat dan penduduk yang mampu menunaikan fardu ain mereka.
Perkara tersebut antara lain dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dalam usul penangguhan pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat lagi, sifat dan bentuk negara generasi ini adalah negara Melayu Islam Beraja (MIB). Beraja dalam maksud permerintahannya, pemerintahan beraja iaitu negara yang merdeka, berdaulat dan demokratik, bersendikan kepada ajaran-ajaran agama Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah dan dengan berasaskan keadilan dan amanah dan kebebasan dan sebagaimana yang dititahkan dalam watikah permasyhuran pada 1 Januari 1984.
Demikian juga pemeliharaan perhubungan persahabatan dalam kalangan antarabangsa atas asas saling menghormati terhadap kemerdekaan, perdaulatan, persamaan dan keutuhan, kukuh wilayah bagi semua negara yang bebas dari campur tangan dari luar negeri.
Jelas Yang Berhormat lagi, generasi pemangkin sekarang, adalah generasi penerus yang juga terdidik dalam satu sistem pendidikan negara Melayu, negara khasnya Sistem Pendidikan Kebangsaan Abad Ke-21 yang mewajibkan mata pelajaran agama sebagai mata pelajaran teras, selain pendidikan melalui persekolahan agama dan melalui Institusi Pengajian Tinggi Islam kerana 'kitani' bermazhabkan pendapat bahawa pendidikan itu adalah acuan untuk generasi demi generasi.
Menurut Yang Berhormat lagi, mereka adalah generasi rakyat dan penduduk yang mengenal dan menghormati nilai-nilai murni ajaran Islam. Mereka bangsa negara MIB yang berada dalam arus perdana keugamaan negara MIB iaitu yang berfahaman dan mengamalkan Islam yang diajarkan di sekolah-sekolah negara ini, diamalkan dalam rumahtangga dan masyarakat di masjid-masjid, ajaran dan amalan yang sama didakwahkan dan disyiarkan menjadi ikutan di peringkat rasmi dan negara.
Usul Penangguhan yang diutarakan oleh Yang Berhormat tersebut telah disokong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.