Siaran Akhbar : Jabatan ASEAN, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 8 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, tahun ini menandakan Ulang Tahun Ke-58 Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan pada kesempatan ini, baginda menyeru agar kita merenung kembali perjalanan yang berakar umbi dalam aspirasi keamanan, kemakmuran dan kemajuan bersama untuk rakyat Asia Tenggara.
Dalam titah perutusan tahniah sempena ASEAN Day 2025, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya menjelaskan sejak 1967, ASEAN telah berkembang menjadi komuniti yang berdaya tahan dan dinamik, bersatu dalam mengemudi persekitaran geopolitik yang kompleks, mengatasi cabaran ekonomi dan bertindak balas terhadap krisis daripada bencana alam hingga wabak.
Melalui usaha kolektif negara-negara anggota selama beberapa dekad, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, ASEAN telah membawa manfaat yang ketara kepada rantau ini, dengan memelihara keamanan, keselamatan dan kestabilan, memupuk pertumbuhan yang mampan, dan meningkatkan kehidupan rakyatnya.
Ini menurut titah baginda termasuklah memupuk generasi pendidik, jurutera, seniman dan usahawan, melalui peluasan akses kepada pendidikan, mengukuhkan kerjasama serantau dan menyokong integrasi ekonomi.
Kebawah DYMM seterusnya bertitah, tahun 2025 juga menandakan beberapa peristiwa penting bagi ASEAN, termasuk Ulang Tahun Ke-10 Komuniti ASEAN dan Ulang Tahun Ke-20 Sidang Kemuncak Asia Timur.
"Kami juga menantikan untuk mengalu-alukan Timor-Leste sebagai ahli penuh ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada bulan Oktober, yang seterusnya mengukuhkan perpaduan kita," titah baginda lagi.
Melangkah ke hadapan tegas Kebawah DYMM, kita dipandu oleh Rancangan Strategik dalam ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita, untuk membina sebuah ASEAN yang adaptif, berdaya tahan, inovatif dan berorientasikan rakyat yang mana menegaskan semula ASEAN Centrality serta komitmen kita untuk memastikan pembangunan yang inklusif dan mampan.
Baginda juga menekankan komitmen untuk memperkasa golongan belia sebagai pemangkin masa depan ASEAN.
"ASEAN akan terus mengharungi era digital, meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim, serta memperkukuh keselamatan makanan dan tenaga. Bersama-sama, kita sedang membina sebuah komuniti serantau yang bersedia untuk masa hadapan dan berteraskan nilai-nilai murni," titah baginda lagi.
Negara Brunei Darussalam titah Kebawah DYMM menyokong penuh kepemimpinan Malaysia di ASEAN di bawah tema 'Keterangkuman dan Kelestarian' serta menegaskan semula komitmennya untuk bekerjasama rapat, berdasarkan permuafakatan, dengan negara-negara anggota dan rakan-rakan ASEAN bagi merealisasikan matlamat yang digariskan dalam ASEAN 2045 dan membantu membentuk masa depan yang lebih cerah dan inklusif untuk semua.
Mengakhiri titah perutusan tersebut, baginda menyampaikan ucapan tulus ikhlas kepada seluruh rakyat ASEAN dan kepada masa depan di mana rantau kita terus berkembang maju dalam perpaduan, daya tahan dan kemakmuran bersama.