Penjawat awam dipenjara atas kesalahan salah laku




Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid






BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 Ogos. - Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan enam bulan ke atas bekas Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali yang didapati bersalah atas beberapa kesalahan salah laku dalam jawatan awam.


Defendan didapati bersalah kerana menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan faedah dari hotel-hotel di bawah seliaan kementerian serta menerima pemindahan dana daripada seorang vendor yang terlibat dalam acara yang dijalankan bersama kementerian.


Kes ini merupakan sabitan pertama di Negara Brunei Darussalam yang diselesaikan selepas perbicaraan penuh di bawah Bab 12B Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131.


Siasatan oleh Biro Mencegah Rasuah telah menemui bukti salah laku oleh defendan. Antara Jun 2020 hingga Februari 2021, defendan telah menginap di dua buah hotel tempatan beberapa kali tanpa membuat bayaran segera, mengelakkan prosedur tempahan yang standard dan mendapat layanan istimewa. Invois yang tidak dibayar berjumlah kira-kira BND5,000, yang hanya diselesaikan selepas siasatan dimulakan.


Semasa masih berhutang dengan hotel-hotel tersebut, dia mengambil tindakan rasmi yang menguntungkan mereka, termasuk mempercepatkan proses pemeriksaan dan kelulusan.


Defendan juga telah mendedahkan maklumat sulit kerajaan secara tidak sah kepada pemilik hotel yang mempunyai kepentingan perniagaan berkaitan dengan KSSUP, yang mencetuskan konflik kepentingan yang ketara.


Dalam tiga kesalahan berasingan yang lain, defendan menerima sejumlah BND9,500 melalui pindahan bank daripada seorang vendor yang terlibat dalam festival tahunan KSSUP, yang dia ketuai sebagai Pengerusi Sekretariat. Bayaran-bayaran tersebut tidak diisytiharkan dan sebahagiannya digunakan untuk perbelanjaan peribadi.


Mahkamah mendapati perkara ini sebagai satu pelanggaran sengaja terhadap prinsip ketelusan yang dijangka daripada jawatannya serta satu pengkhianatan serius terhadap kepercayaan awam.


Dalam menjatuhkan hukuman, Yang Arif Majistret Kanan Hajah Azrimah binti Haji Abdul Rahman menyatakan bahawa keseriusan salah laku ini dipertingkatkan lagi oleh kedudukan tinggi defendan serta kesalahannya yang berulang.


Kesalahan di bawah Bab 12B Akta Pencegahan Rasuah telah diperkenalkan melalui pindaan tahun 2015. Peruntukan ini memperluaskan skop undang-undang anti-rasuah dengan mengiktiraf salah laku dalam jawatan awam yang lebih dari hanya penerimaan rasuah, bagi memastikan akauntabiliti dan integriti dalam Perkhidmatan Awam.


Keputusan ini menyampaikan mesej yang jelas bahawa semua pegawai awam, tanpa mengira pangkat, akan dipertanggungjawabkan bagi mengekalkan integriti dan tadbir urus yang baik.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Abdul Latiff, Hajah Siti Mu'izzah binti Haji Sabli dan Jordan Tiah Teck Chiun bagi pihak Pendakwa Raya manakala defendan diwakili oleh Tetuan Yusof Halim & Partners.

Close