Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji Ali / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Ogos. - Peraturan khusus yang membenarkan bekas banduan untuk dilantik ke dalam sektor awam bagi setakat ini adalah belum ada dan sebarang cadangan atau inisiatif berkaitan tertakluk kepada pertimbangan pihak-pihak yang berkepentingan berdasarkan dasar dan garis panduan yang berkuat kuasa pada masa ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof seterusnya menyatakan bahawa bagi sebarang permohonan untuk pelantikan semula akan dirujuk kepada pertimbangan pihak yang berkenaan iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan dalam hal ini, sebagai sebuah badan bebas, SPA akan membuat penilaian dengan teliti dan berpandukan prinsip merit, kelayakan, kesesuaian jawatan serta kepentingan perkhidmatan awam secara menyeluruh.
“Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat jua, SPA hanya pernah mempertimbangkan satu kes setakat ini yang melibatkan individu yang telah menjalani hukuman penjara akibat kegagalan membayar denda.
“Pada masa yang sama, kerajaan juga sedang meneliti pendekatan yang lebih inklusif dan progresif dalam urusan pengambilan ke Perkhidmatan Awam termasuk pertimbangan terhadap pelaksanaan tempoh kelayakan semula bagi individu yang mempunyai rekod sabitan lupus, 'spent conviction'," jelas Yang Berhormat bagi menjawab persoalan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat mengenai peluang pekerjaan di sektor awam bagi bekas banduan yang telah insaf pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.
Kongsi Yang Berhormat lagi, antara langkah atau inisiatif utama yang diambil oleh pihak kerajaan mengenai pembersihan rekod jenayah adalah penelitian ke atas pelaksanaan menyeluruh Akta Pendaftaran Jenayah (Penggal 202).
Undang-undang berkenaan, tambah Yang Berhormat, merupakan undang-undang utama yang mengimbangi tanggungjawab negara dalam memastikan keselamatan awam dengan tanggungjawab untuk menyokong pemulihan dan integrasi semula masalah yang telah insaf ke dalam masyarakat.
Yang Berhormat seterusnya menyatakan walaupun akta ini menetapkan kewajipan pihak berkuasa untuk merekod butiran individu yang disabit bersalah bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang, tapisan keselamatan dan fungsi kehakiman, ia juga mengiktiraf prinsip keadilan, pemulihan dan peluang bagi individu untuk membina semula kehidupan mereka.
“Selain daripada menubuhkan daftar penjenayah, Akta Pendaftaran Jenayah (Penggal 202) juga turut memperkenalkan rangka kerja bagi sabitan lupus, 'spent conviction'. Peraturan ini mengiktiraf bahawa individu yang telah menjalani hukuman dan menunjukkan pembaikan kelakuan, wajar diberi peluang untuk maju tanpa dibebani sabitan lama sepanjang hayat yang mana kerajaan juga akan terikat dengan peruntukan ini.
“Mengambil kira impaknya yang luas dan mendalam kepada semua lapisan masyarakat, maka pihak jabatan ini sedang menjalankan penelitian lanjut dan terperinci bagi memastikan pelaksanaan undang-undang tersebut dijalankan dengan adil dan saksama dengan mengimbangkan kepentingan hak penjenayah yang telah insaf dengan hak masyarakat secara meluas," terang Yang Berhormat lagi.
Dengan yang demikian, tekan Yang Berhormat, setiap penjawat awam untuk menilai setiap tindakan agar tidak terjerumus dalam perbuatan yang menyalahi undang-undang demi sentiasa menjaga kemaslahatan diri sendiri dan juga keluarga serta memelihara nama baik Perkhidmatan Awam.