Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Hernie Suliana Haji Othman
TUTONG, Rabu, 30 Julai. - Irama Gambus Warisan dari 7 Rumpun Keluarga Nayan (7RKN) merupakan persembahan yang turut sama bagi memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79, Tahun 2025, malam tadi.
Persembahan berkenaan juga merupakan sebahagian daripada acara Pentas Perayaan Daerah Tutong yang diadakan di kawasan lapang berhadapan dengan Hospital Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus sama-sama memeriahkan lagi majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri. Petikan gambus oleh Ahli 7RKN itu menampilkan lebih 20 persembahan yang terdiri daripada pelbagai jenis genre lagu.
Persembahan berkenaan diharap akan dapat menyatukan masyarakat Melayu secara amnya dengan menghargai nilai-nilai budaya dan warisan negara ini, seiring dengan berpegang teguh dan menjaga kemurnian falsafah negara, Melayu Islam Beraja.