Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 24 Julai. - Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan setelah mengaku bersalah memasang kamera tersembunyi di bilik air pejabatnya dengan niat untuk melihat perbuatan rakan sekerja tanpa pengetahuannya.
Defendan, Mohamad Azzan Safwan bin Dato Paduka Haji Sidek, 30 tahun, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan terhadap satu pertuduhan di bawah Bab 377 H (4) dari Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22, yang menjadikan pemasangan peralatan sebagai satu kesalahan bagi tujuan melakukan perbuatan 'voyeurisme'.
Majistret, Qamarul Affyian bin Abdul Rahman mendengar fakta yang dikemukakan oleh pihak pendakwa raya bahawa kejadian berlaku pada 25 Oktober 2023 di premis pejabat defendan di Bandar Seri Begawan.
Defendan yang memiliki dan menguruskan perniagaan tersebut telah meletakkan telefon bimbit di dalam bilik air pejabat, disembunyikan di bawah sehelai kain hitam, dengan menghalakan lensa kamera ke arah mangkuk tandas. Defendan mengaktifkan fungsi rakaman dan kemudian meninggalkan bilik.
Tidak lama kemudian, seorang pelajar latihan perempuan berusia 20 tahun memasuki bilik air dan terlihat alat tersebut. Dia kemudian membuat laporan polis. Siasatan mengesahkan bahawa telefon bimbit itu milik defendan dan dia mengaku meletakkannya di tempat itu bagi tujuan mendapatkan kepuasan seksual.
Mahkamah memerintahkan supaya hukuman defendan bermula pada tarikh defendan disabitkan iaitu 17 Julai 2025. Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fitri Kiprawi hadir bagi pihak Pendakwa Raya, manakala Brandon Chin Mssrs, Yusof Halim & Partners mewakili defendan.