Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 23 Julai. - Mahkamah Majistret telah mensabitkan bekas Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) atas kesalahan salah laku dalam jawatan awam yang bertentangan dengan Bab 12B Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131.
Wardi bin Haji Mohammad Ali telah dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di KSSUP pada 19 November 2015 dan terus berkhidmat sehingga beliau digantung tugas pada bulan Februari 2021.
Defendan didapati bersalah kerana dengan sengaja melakukan salah laku dengan menunjukkan sikap atau berterusan bersikap memihak kepada dua buah hotel tersebut sebagai balasan kerana dibenarkan tidak membuat pembayaran segera semasa mendaftar keluar.
Salah laku tersebut merupakan satu penyalahgunaan kepercayaan orang ramai terhadap kedudukan beliau sebagai Timbalan Setiausaha Tetap. Siasatan yang dijalankan oleh Biro Mencegah Rasuah (BMR) mendapati bahawa salah laku itu berlaku antara 18 Jun 2020 dan 23 Februari 2021 yang mengakibatkan jumlah invois tertunggak yang terkumpul sebanyak kira-kira BND5,000.
Majistret Kanan, Azrimah binti Haji Abdul Rahman mendapati salah laku tersebut dilakukan dalam tempoh atau berhubung dengan jawatan defendan kerana beliau mempunyai kuasa pemantauan terhadap industri pelancongan termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengan pengusaha hotel.
Defendan menegaskan bahawa dia telah memeterai perjanjian jangka kredit dengan hotel-hotel dan wujud jangkaan untuk membuat pembayaran antara mereka.
Walau bagaimanapun, saksi yang dipanggil oleh pendakwaan memberi keterangan bahawa kedudukan beliau merupakan suatu pertimbangan dalam keputusan mereka untuk membenarkannya menangguhkan pembayaran.
Walaupun defendan mendakwa pengaturan ini adalah semata-mata transaksi komersial biasa dan keterangan yang dikemukakan menunjukkan sebaliknya.
Kes pendakwaan diperkuatkan lagi dengan mesej teks antara defendan dan pemilik-pemilik hotel yang menunjukkan keadaan minda defendan dan sikapnya yang memihak kepada hotel-hotel itu.
Defendan selanjutnya didapati bersalah dengan sengaja menyalahgunakan amanah orang ramai dengan mencemarkan nama baik pejabat awamnya dengan membenarkan syarikat pengurusan acara memindahkan dana ke dalam akaun bank peribadinya pada tiga kali berasingan.
Syarikat pengurusan acara itu menganjurkan acara dengan kerjasama KSSUP yang dikendalikan di bawah tanggungjawab defendan.
Majistret Kanan membuat kesimpulan bahawa tindakan defendan adalah disengajakan tanpa justifikasi munasabah dan menunjukkan penyalahgunaan kuasa yang serius. Kegagalan beliau untuk bertindak secara telus dan mengikut prinsip tadbir urus yang baik menghakis integriti institusi.
Dalam semua keadaan, mahkamah mendapati bahawa salah laku defendan menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap pejabatnya dan jauh di bawah piawaian yang diharapkan daripada pegawai kanan awam.
Keputusannya untuk berdiam diri apabila diajak memberi pembelaannya memperkukuh bahawa tiada penjelasan atau alasan munasabah untuk salah lakunya.
Setelah mensabitkan kesalahan defendan dan mendapati bahawa tiada sebab luar biasa untuk terus memberikan jaminan kepadanya, jaminan defendan telah dibatalkan.
Defendan dijadualkan untuk hadir di Mahkamah sekali lagi pada 30 Julai 2025 untuk hujahan pendakwaan mengenai hukuman. Defendan berdepan hukuman denda sehingga BND30,000 dan / atau penjara sehingga tujuh tahun.
Perbicaraan telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Abdul Latiff, Hajah Siti Mu'izzah binti Haji Sabli dan Jordan Tiah Teck Chiun bagi pihak Pendakwa Raya. Defendan diwakili oleh Yusof Halim & Partners, Advocates & Solicitors.