Penglibatan dalam IDB VMAT tingkatkan reputasi kerjasama keselamatan serantau




Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi






BOLKIAH GARISON, Jumaat, 18 Julai. - Kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh Negara Brunei Darussalam (NBD) kepada Republik Filipina memainkan peranan besar dalam memperdalam hubungan antara kedua-dua negara bukan sahaja antara rakyat tetapi juga antara kedua-dua kerajaan, di samping mengukuhkan lagi keamanan dan keselamatan di rantau ini.


Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke NBD, Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio menyatakan, asas kepada mana-mana perkongsian yang kukuh adalah hubungan dua hala yang erat dan berterusan.


Dalam konteks ini, penglibatan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dalam misi pengaman di Filipina telah memberikan sumbangan yang amat cemerlang. Kejayaan mereka banyak disumbangkan oleh tahap profesionalisme dan disiplin tinggi yang ditunjukkan sepanjang pelaksanaan misi.


Puan Yang Terutama Marian Jocelyn mengongsikan perkara tersebut dalam temu bual bersama pihak media semasa Majlis Doa Kesyukuran sempena meraikan kepulangan kontinjen ABDB yang selesai melaksanakan penugasan sebagai Ahli Independent Decommissioning Body, Verification, Monitoring and Assistance Team (IDB VMAT) 6 / 2024 di Mindanao, Republik Filipina, berlangsung di Bolkiah Garison, hari ini.


Menurut PYT lagi, ketelusan dan keberkesanan ABDB di lapangan telah membina kepercayaan dalam kalangan masyarakat setempat serta pihak-pihak berkepentingan. Di samping itu, latihan berkualiti tinggi yang diterima oleh anggota ABDB serta pengalaman mereka dalam misi pengaman jelas terbukti melalui kebolehan mengurus situasi yang sensitif dan kompleks.


“Misi pengaman bukan sahaja memerlukan kemahiran ketenteraan tetapi juga kebijaksanaan diplomatik, ketelusan dan kawalan diri yang tinggi. Sifat-sifat ini telah membantu memperkukuhkan kepercayaan bersama serta menyumbang kepada keamanan yang lebih mampan.


“Kami amat menghargai peranan ABDB dalam menyokong proses damai di Filipina, yang telah membuahkan kejayaan nyata. Sumbangan ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan dua hala antara Filipina dan Brunei, malah turut menyumbang kepada keamanan dan kestabilan di rantau ini," ujar PYT.


Atase Pertahanan dan Angkatan Tentera Republik Filipina ke NBD, Kolonel Garry L Atienza PAF pula menjelaskan, penglibatan ABDB dalam IDB serta misi-misi berkaitan seperti International Monitoring Team (IMT) di Republik Filipina telah memberikan impak yang sangat positif.


“ABDB telah memainkan peranan penting dalam memastikan proses pelucutan senjata dilaksanakan secara profesional, telus dan adil. Sikap berkecuali mereka dalam menangani misi-misi yang sensitif telah membantu membina keyakinan semua pihak berkepentingan dan menyumbang secara langsung kepada kejayaan inisiatif perdamaian di kawasan tersebut," terangnya.


Di samping itu, ujar beliau, penglibatan ini telah meningkatkan reputasi dan kredibiliti ABDB dalam konteks kerjasama keselamatan serantau. Ia turut memperkukuhkan hubungan diplomatik dan persefahaman antara NBD dan Republik Filipina, serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau yang berterusan.


Sementara itu, Leftenan Kolonel (U) Mohammad Khairul bin Pehin Datu Indera Setia Dato Paduka Seri Haji Sulaiman selaku Ketua Kontinjen IDB VMAT 6 / 2024 pula mengongsikan, pengalaman mengetuai kontinjen NBD dalam IDB merupakan satu penghormatan besar dan pada masa yang sama satu tanggungjawab yang amat mencabar.


“Kami berperanan sebagai pihak berkecuali dalam menyokong proses damai di Mindanao, khususnya dalam memastikan proses penyahtauliahan dan pelucutan senjata bekas Kombatan dilaksanakan secara aman, berintegriti dan telus.


“Sepanjang tempoh penugasan, kami berdepan dengan pelbagai cabaran daripada aspek logistik di kawasan pedalaman, komunikasi merentas budaya dan bahasa, sehinggalah kepada sensitiviti kemanusiaan dalam berurusan dengan bekas Kombatan yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada proses damai ini.


“Namun begitu, dengan semangat kerjasama pelbagai pihak termasuk rakan-rakan antarabangsa serta wakil-wakil kerajaan dan masyarakat di Republik Filipina, segala cabaran tersebut kami atasi dengan keazaman untuk menyumbang kepada keamanan yang berkekalan di rantau ini," ujarnya.


Terdahulu, Leftenan Kolonel (U) Mohammad Khairul juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kepercayaan yang diberikan kepadanya mengetuai kontinjen NBD dalam misi yang sangat bersejarah dan bermakna ini.


“Saya juga ingin menyampaikan penghargaan kepada semua anggota kontinjen NBD yang sentiasa menunjukkan disiplin, profesionalisme dan semangat kental dalam menghadapi pelbagai keadaan di lapangan. Mereka adalah duta keamanan NBD di arena antarabangsa terutamanya di rantau ini.


“Akhir kata, saya berdoa agar usaha kami ini menjadi sumbangan yang bermakna dan berkesan dalam mencapai keamanan yang berkekalan di Mindanao," tambahnya.


Close