Malam Silaturahim anjuran 5 syarikat tenaga utama di NBD



Siaran Akhbar dan Foto: Syarikat Brunei Shell Petroleum Sdn. Bhd.

 





KUALA BELAIT, Jumaat, 18 Julai. - Sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79, lima syarikat tenaga utama di Negara Brunei Darussalam - iaitu Syarikat Brunei Shell Petroleum Sdn. Bhd. (BSP), Brunei LNG Sdn. Bhd. (Brunei LNG), Brunei Gas Carriers Sdn. Bhd. (BGC), Syarikat Methanol Brunei Sdn. Bhd. (BMC), dan Brunei Fertilizer Industries Sdn. Bhd. (BFI) malam tadi menganjurkan Malam Silaturahim bertempat di Tudung Saji, Kuala Belait.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.


Majlis turut dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Penghulu Mukim Bukit Sawat, Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman yang mewakili Daerah Belait, serta wakil kanan agensi kerajaan dan pihak berkepentingan daripada sektor tenaga dan perniagaan.


Acara tersebut menampilkan pelawak tempatan, Loh Latiff, selaku pengacara majlis yang turut diserikan dengan lawak jenaka.


Penonton turut dihidangkan dengan program dinamik, persembahan muzik dan kebudayaan daripada individu berbakat dari seluruh sektor tenaga.


Pameran tersebut meraikan kreativiti, semangat dan kepelbagaian bakat tempatan dan antarabangsa, sambil memupuk rasa kebanggaan masyarakat dan negara.


Acara ini juga memberi peluang kepada para kakitangan, keluarga, dan orang ramai untuk bersama-sama menghargai kekayaan budaya negara dan kepimpinan baginda.


Ia juga mencerminkan kerjasama kukuh antara syarikat penganjur dan komitmen berterusan mereka terhadap semangat patriotism dan penglibatan budaya.


Close