Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 18 Julai. - Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam (NBD) petang tadi mengadakan Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star kepada Mantan Duta NBD ke Jepun, Pengiran Dato Paduka Haji Idris bin Pengiran Temenggong Pengiran Haji Mohammad, di kediaman Duta Besar dan Mutlak Jepun ke NBD.
Order of the Rising Sun telah diperkenalkan pada tahun 1875 sebagai anugerah kehormatan pertama Jepun dan merupakan anugerah berprestij yang diberikan kepada individu dari Jepun dan luar negara yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang kemasyarakatan.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian anugerah tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke NBD, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka.
Semasa majlis tersebut, Tuan Yang Terutama menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengiran Dato Paduka Haji Idris atas sumbangan beliau dalam mempererat hubungan serta pertukaran dua hala antara Jepun dan NBD.
Pengiran Dato Paduka Haji Idris merupakan Duta Besar NBD ke Jepun yang paling lama berkhidmat, iaitu dari tahun 1987 hingga 1996.
Sepanjang tempoh sembilan tahun beliau berkhidmat sebagai Duta Besar NBD ke Jepun, beliau telah memberikan sumbangan besar dalam memperkukuh hubungan erat antara kedua-dua negara.
Beliau memainkan peranan penting dalam mengatur lawatan peringkat tertinggi termasuk lawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Jepun pada tahun 1989 bagi Istiadat Pengebumian Maharaja Showa dan pada tahun 1990 bagi Istiadat Pertabalan Maharaja Akihito (kini Maharaja Emeritus), yang telah membantu mengukuhkan hubungan jangka panjang antara Kerabat Diraja Brunei dan Kerabat Maharaja Jepun.
Pengiran Dato Paduka Haji Idris turut memberi sumbangan besar dalam usaha pelancaran penerbangan tetap Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) ke Jepun.
Beliau bekerjasama rapat dengan kedua-dua kerajaan dalam memuktamadkan perjanjian antara Jepun dan NBD bagi Perkhidmatan Udara.
Perjanjian tersebut telah dimeterai pada tahun 1993, dan RB mula mengendalikan penerbangan tetap ke Jepun, yang seterusnya mempertingkatkan hubungan dan pertukaran rakyat antara kedua-dua negara.