Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 18 Julai. - Majlis Pelancaran Rangka Kerja Kompetensi Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah diadakan Di Dewan Bankuet, Mes Pegawai Polis, Ibu Pejabat Polis Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin. Turut berangkat dan hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris selaku Pengerusi Jawatankuasa Rangka Kerja Kompetensi, PPDB.
Dalam sabda, Yang Amat Mulia Pengerusi Jawatankuasa menjelaskan bahawa satu jawatankuasa telah ditubuhkan bagi mengkaji kompetensi-kompetensi yang diperlukan dalam lima bidang kepolisan teras, iaitu penyiasatan, tugas am, operasi, perisikan dan pentadbiran.
Jawatankuasa tersebut telah berjaya menghasilkan Rangka Kerja Kompetensi buat kali pertama dalam sejarah pasukan, lengkap dengan Kamus Kompetensi. Inisiatif ini juga adalah selaras dengan Strategi Teras Latihan dalam Pelan Strategik PPDB.
Tambah sabda Yang Amat Mulia lagi, bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Upacara Istiadat Perbarisan Penganugerahan Bendera Panji-panji Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 18 Januari 2025, Rangka Kerja Kompetensi ini merupakan langkah pertama dalam pelaksanaan pelan menyeluruh perancangan penggantian (succession planning) dalam PPDB.
Rangka Kerja Kompetensi ini akan disusuli dengan semakan dan penambahbaikan terhadap skim serta struktur perkhidmatan, di samping penilaian semula ke atas teknik dan proses penilaian prestasi di setiap peringkat organisasi.
Pendekatan ini dijangka akan mewujudkan satu sistem pengurusan sumber manusia yang lebih telus, berstruktur dan berteraskan meritokrasi.
Selepas merasmikan pelancaran Rangka Kerja Kompetensi PPDB, Pesuruhjaya Polis menyatakan harapan agar Rangka Kerja Kompetensi ini menjadi bahan rujukan yang bermanfaat serta menyumbangkan kemajuan di dalam memperkukuhkan lagi kapasiti warga PPDB di dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan secara profesional mengikut sukat-sukat kompetensi yang telah ditetapkan pada masa ini.
Majlis diteruskan dengan tayangan video informasi mengenai Rangka Kerja Kompetensi, diikuti dengan sesi soal jawab yang memberi ruang kepada hadirin untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang pelaksanaan Rangka Kerja tersebut.
Seramai kira-kira 700 pegawai dan anggota PPDB hadir pada majlis tersebut, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi pasukan terhadap agenda pembaharuan dan pemantapan institusi pasukan.
Pelancaran Rangka Kerja Kompetensi ini merupakan satu penanda aras baharu dalam inisiatif strategik PPDB untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan raja serta masyarakat umum, melalui pengamalan budaya kerja yang lebih sistematik, berwibawa dan berteraskan kepada usaha berterusan dalam meningkatkan profesionalisme, akauntabiliti dan integriti pasukan.