Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BOLKIAH GARISON, Jumaat, 18 Julai. - Tiga Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) selamat kembali ke tanah air pada 11 Julai 2025 lalu setelah selesai penugasan mereka sebagai Ahli Independent Decommissioning Body, Verification, Monitoring and Assistance Team (IDB VMAT) 6 / 2024 di Mindanao, Republik Filipina.
Kontinjen berkenaan diketuai oleh Leftenan Kolonel (U) Mohammad Khairul bin Pehin Datu Indera Setia Dato Paduka Seri Haji Sulaiman bersama dua pegawai iaitu Mejar Zulhilmi bin Tom dan Kapten Abdul Khair Hazimin bin Abdul Sufriyan.
Sehubungan itu, Majlis Doa Kesyukuran sempena meraikan kepulangan kontinjen berkenaan diadakan di Surau Ad-Difa' Bolkiah Garison, hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan dan menyempurnakan penyampaian Sijil Penghargaan kepada ahli-ahli kontinjen ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Turut hadir, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio; Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan ABDB, Pemangku Pengarah Asia / Timur Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Atase Pertahanan dan Angkatan Tentera Republik Filipina ke NBD, pegawai-pegawai dan anggota-anggota Kementerian Pertahanan serta keluarga kontinjen IDB VMAT 6 / 2024 yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah, Surah Al-Mulk dan Asmaul Husna, diikuti dengan tazkirah bertajuk 'Keamanan Nikmat yang Agung' yang disampaikan oleh Pegawai Turus Gerakan Agama dari Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Mejar Narulismandy@Anwar Hadi bin Haji Samaih.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada kontinjen IDB VMAT yang diiringi dengan laungan Dikir Marhaban.
Sejurus itu, majlis diteruskan dengan Sembahyang Sunat Hajat dan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah, diikuti dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan oleh Pemangku Pengarah JAMA'AT, Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar dan seterusnya sesi bergambar ramai.
Sesi perjumpaan juga diadakan bersama ketua kontinjen dan mantan-mantan Ketua Kontinjen IDB VMAT terdahulu, yang berkongsi pengalaman dan pandangan mereka semasa melaksanakan misi pengaman masing-masing.
Sejak penubuhan IDB VMAT pada tahun 2019, NBD telah menghantar seramai 24 pegawai ABDB untuk menyertai proses perdamaian sebagai usaha menyumbang secara langsung ke arah keamanan dan kestabilan di Mindanao, Republik Filipina.
Penyertaan ini jelas mencerminkan berterusan komitmen NBD dalam memelihara keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa, selaras dengan aspirasi yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan 2021.