Pendaftaran Kursus Seni Khat Republik Turkiye kini dibuka




Oleh : Khartini Hamir / Foto : Azmah Haji Ahad






BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 14 Julai. - Kursus Seni Khat Republik Turkiye (Khat Riq'ah) dan Seni Marmar Kertas Tradisional Republik Turkiye yang dikenali sebagai EBRU yang akan diadakan di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) kini dibukakan kepada orang awam untuk pendaftaran.


Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr. Hamit Ersoy dalam ucapan alu-aluannya semasa acara pembentangan dan demonstrasi interaktif Seni Khat Riq'ah dan Seni EBRU di BKISHHB, seterusnya menyatakan bahawa orang ramai kini boleh memohon untuk mengikuti kursus tersebut yang akan berjalan selama enam bulan, dan tarikh tutup pendaftaran pada 31 Julai 2025.


"Dianjurkan oleh BKISHHB dan dikendalikan oleh Yunus Emre Institute dengan kerjasama Kedutaan Republik Turkiye, kursus yang akan bermula pada 4 Ogos 2025 tersebut memberi peluang kepada orang awam untuk mendalami lagi tradisi, seni dan budaya Republik Turkiye," ujar Tuan Yang Terutama lagi.


Sementara Pengarah Yunus Emre Institute di Brunei, Puan Lale Ersoy pula menjelaskan, khat mempunyai pelbagai gaya tetapi gaya Riq'ah adalah unik kerana ia bersifat seni serta berfungsi, memandangkan ia digunakan sebagai bentuk surat-menyurat rasmi di Istana Uthmaniyyah selama berabad-abad dan ini memberikan nilai yang tinggi kepada ahli sejarah dan penyelidik juga.


Puan Lale Ersoy seterusnya menambah EBRU, walaupun kelihatan sebagai seni semata-mata, sebenarnya berakar umbi dalam kerohanian yang mendalam dan diamalkan sebagai satu bentuk zikir oleh ramai penggiat seni.


Hadir selaku tetamu kehormat majls pada acara tersebut, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.


Acara dimulakan bacaan Surah Al-Fatihah dan bacaan Doa Selamat oleh Pegawai Penyelidik Bahasa Arab Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SkiPPA), BKISHHB, Awang Muhammad Haziq Ariffin bin Haji Muskapah.


Juga hadir, Pemangku Pengarah BKISHHB, Pengiran Mohammad Jeffrynul Hafli bin Pengiran Haji Ali yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan.


Acara kemudian diteruskan dengan demonstrasi Seni Khat Riq'ah dan Seni Marmar Kertas Tradisional Republik Turkiye oleh Puan Lale Ersoy, diikuti dengan demonstrasi khat oleh Pegawai Penyelidik Bahasa Arab SkiPPA, BKISHHB, Dayang Nurlina Shazlina binti Haji Ali.


Tahun lalu, Yunus Emre Institute dengan kerjasama Kedutaan Republik Turkiye telah menjalin aktiviti kolaboratif dengan beberapa institusi dalam bidang kerajaan dan akademik, termasuk menganjurkan kursus bahasa, aktiviti bercerita, tayangan filem dan juga menyiarkan rancangan masakan Republik Turkiye di penyiar rasmi negara, Radio Televisyen Brunei (RTB).


Acara kebudayaan dan kulinari turut dianjurkan secara berkala oleh Yunus Emre Institute dengan kerjasama Kedutaan Republik Turkiye dan diumumkan kepada orang ramai melalui media sosial.


Close