Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
TUTONG, Isnin, 14 Julai. - Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 bagi Tahun 2025, masyarakat Islam di seluruh negara tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama menzahirkan rasa syukur dan mendoakan kesejahteraan raja yang dikasihi.
Di Daerah Tutong, Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib, Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Membaca Doa Kesyukuran sempena perayaan tersebut berlangsung di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.
Hadir selaku tetamu khas, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Acara dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib dan Sunat Hajat yang diimamkan oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Awang Sahibul Omar bin Haji Yusof.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil yang diketuai oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin.
Manakala, bacaan Doa Kesyukuran dipimpin oleh Ketua Pegawai Ugama, Pejabat Ugama Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Azman bin Haji Musa.
Acara disusuli dengan Sembahyang Fardu Isyak yang diimamkan oleh Awang Mohammad Waiz.
Majlis berkenaan mencerminkan semangat kecintaan rakyat terhadap institusi raja dan kepimpinan baginda yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat serta kemajuan negara.